KUALA LUMPUR – Tindakan seorang lelaki mengugut bapanya dengan mahu membakar rumah mereka jika tidak dibelikan burger dan pulang dengan segera membawa padah apabila Mahkamah Majistret Selayang hari ini menjatuhkan hukuman penjara lima bulan terhadapnya.

Majistret Nur Hafizah Rajuni menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohammad Adib Akmal Mohd Sauffi, 29, selepas tertuduh mengaku bersalah melakukan kesalahan itu di kediamannya di Taman Bolton, Batu Caves, Selangor, pada 10 malam, 27 Disember lepas.

Mahkamah memerintahkan Mohammad Adib Akmal menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh dia ditangkap, semalam.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, ketika bapa Mohammad Adib Akmal keluar membeli makanan, bapanya menerima panggilan telefon daripada Mohammad Adib Akmal yang menyuruh membelikan burger dan pulang ke rumah dengan segera.

Sekiranya bapa tertuduh tidak mengikut arahan, tertuduh mengugut mahu membakar rumah mereka.

Ketika rayuan, Mohammad Adib Akmal yang diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan M. Mariappan memohon mahkamah mengenakan hukuman yang ringan dengan alasan anak guamnya hanya berniaga kecil-kecilan dan berpendapatan RM1,000 sebulan.

Timbalan Pendakwa Raya, Anis Farhah Ahmad Hilmi bagaimanapun memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal supaya memberi pengajaran kepada tertuduh.

“Dalam kes ini, tertuduh mengugut bapa kandungnya sendiri, tertuduh sepatutnya menjaga dan menghormati bapanya bukan mengugut,” katanya. – Bernama