Datuk Razarudin Husain @ Abd Rasid

KUALA LUMPUR – Polis mengesan 92 pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok yang dijadikan sebagai lokasi perhentian dan penurunan dadah di sempadan Malaysia-Thailand.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain@Abd Rasid berkata, penemuan itu diperolehi menerusi hasil risikan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) yang komited dalam menumpaskan sindiket penyeludupan masuk dadah dari negara jiran.

“Sebab sindiket dadah mendirikan pangkalan haram yang berjumlah besar itu di sungai berkenaan adalah kerana sempadan Thailand dan Malaysia yang sangat hampir iaitu hanya 40 meter lebar.

“Mereka (sindiket dadah) pandai merisik dan menentukan waktu penguatkuasa kita tidak bertugas (bertukar shift) sebelum menggunakan bot pada tengah malam untuk mengangkut bekalan dadah dan tidak sampai lima minit untuk melalui Sungai Golok yang panjangnya 99 kilometer masuk ke Kelantan.

“Selain itu, mereka juga akan meletakkan guni-guni yang berisi dadah di dalam bot dan menolaknya ke sempadan Kelantan yang jarak hanya 40 meter sahaja dan akan ada orang yang bersembunyi di semak sebelum mengambil guni-guni berkenaan di tebing sungai itu,” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada sidang media di Pusat Latihan Polis, di sini, hari ini.

Tambah beliau, pihaknya sentiasa memantau kegiatan sindiket dadah di sungai itu namun mereka tahu pergerakan dan penugasan polis yang mengawal sempadan negara.

“Mereka pandai mengambil tahu bila polis keluar bertugas serta habis bertugas sebelum mereka tunggu masa itu dan mengambil kesempatan dan mengedar apabila cuma kita tidak perasaan pergerakan mereka ketika itu,” katanya. – MalaysiaGazette

Zakat LZS

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast