Temubual eksklusif bersama Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Dr Aminuddin Hashim di Agensi Pengurusan Bencana Negara, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 30 DISEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menggesa tidak ada lagi mana-mana pihak yang menuding jari mencari kesalahan dalam pengurusan bencana khususnya banjir.

Ketua Pengarah NADMA, Datuk Dr Aminuddin Hassim berkata, dalam tempoh bersiap siaga untuk menghadapi gelombang kedua, semua pihak harus lebih berwaspada dan bersama-sama membantu.

“Bencana bukan masa nak cari salah. Apa salahnya jika ada mana-mana pihak bersama-sama membantu, kerana matlamat kita sama, menyelamatkan mangsa.

“Dalam keadaan sekarang, NADMA tidak mahu memikirkan apa tanggapan orang sebaliknya berusaha memberikan khidmat terbaik,” katanya ketika menjadi panel program SKOP MG, malam ini.

Beliau berkata, mendepani gelombang kedua, kerjasama erat di antara semua kementerian, agensi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) adalah perlu ditambah baik.

“Saya faham, ada yang kurang tahu bidang tugas NADMA akan menuding jari tetapi, yang penting penyelarasan tugas itu sudah diberikan kepada mereka yang berhak melaksanakannya.

Temubual SKOP MG bersama Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Dr Aminuddin Hashim yang dikendalikan hos Haslina AR Kamaludin. Foto MOHD ADZLAN, 30 DISEMBER 2021.

“Kami menunggu jika fasa awal di mana pengurusan daripada Pejabat Daerah tidak mampu, kemudian Setiausaha Kerajaan Negeri dan akhir sekali baru kami akan mengambil langkah sewajarnya.

“Kami tidak tahu lokaliti kawasan banjir, yang lebih arif adalah orang tempatan.

“Kami menyediakan logistik dan data yang ada pada kami juga datangnya daripada pengurusan setiap negeri,” jelasnya.

Dalam pada itu, menjawab persoalan pelayar mengenai tindakan yang lambat, Aminuddin berkata, perkara itu jelas sudah diberikan kepada setiap agensi.

“Kita beruntung ada kerajaan yang besar, memainkan peranan dengan baik dan memberikan bantuan kepada mangsa.

“Lihat sahaja, pengumuman yang dibuat oleh kerajaan, boleh dikatakan selang dua atau tiga hari pasti ada siri-siri bantuan.

“Kita akan buat terbaik demi keselamatan rakyat.

“Cumanya, komen-komen negatif itu datangnya daripada mereka yang tak pernah alami banjir, NADMA di Pantai Timur, orang suka dan selalu senyum pada kami, tapi tak apa, inilah perkara baharu yang kami belajar dan tambah baik” jelasnya.

NADMA dijadikan sasaran netizen berikutan banjir yang melanda Lembah Kelang baru-baru ini kerana dikatakan lambat bertindak.

Aminuddin yang mengakui ada mendengar perkara itu bagaimanapun tidak melatah sebaliknya terus mengambil pendekatan terbaik menangani isu ini.

“Apa yang negatif tu kami jadikan positif dan pastikan ia tidak berlaku lagi.

“Dalam isu banjir, kita tak boleh menjangka apa-apa walaupun kita dapat amaran hujan lebat tetapi taburan itu yang semua orang tak sangka.

“Bagaimanapun untuk gelombang kedua, perkara ini akan dibaiki lagi,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast