Gambar hiasan

IPOH – Seorang kerani kerugian kira-kira RM50,000 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan dalam talian Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai bank Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, ACP Ahmad Adnan Basri berkata, wanita berusia 36 tahun itu menerima panggilan telefon daripada lelaki dikenali sebagai ‘James’ mendakwa mangsa mempunyai kad kredit yang dimohon di sebuah cawangan bank di Bandar Baru Klang kira-kira pukul 3.45 petang.

“Pengadu dimaklumkan telah membuat transaksi sebanyak tiga kali dengan jumlah keseluruhan penggunaan sebanyak RM15,596 namun pengadu memaklumkan beliau tidak pernah membuat sebarang permohonan kad kredit dengan bank berkenaan.

“Suspek memaklumkan beliau akan membantu pengadu membuat laporan polis kepada Bank Negara bahawa ada individu yang telah menggunakan butiran pengadu untuk membuka akaun di bank.

“Selepas itu, pengadu telah diminta maklumat peribadi serta butiran maklumat akaun bank miliknya dan suspek telah menghantar satu laporan polis kononnya telah dibuat bagi pihak pengadu untuk rujukan Bank Negara,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, tidak lama kemudian, pengadu menerima pesanan ringkas daripada pihak bank mengatakan bahawa pengadu telah membuat pindahan wang dalam talian daripada akaun miliknya ke akaun bank atas nama Saravanen A/L Kumar sebanyak 15 kali transaksi dengan jumlah RM50,000.

Katanya, mangsa seterusnya membuat laporan polis di Balai Polis Hutan Melintang dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – Bernama