Skuad Kilat MBJB bersedia hadapi banjir di Johor.

JOHOR BAHRU – Sebanyak 10 kawasan hotspot di sekitar Johor Bahru dikenalpasti berkemungkinan berlakunya banjir berikutan fenomena luruan monsun yang dijangka bermula esok hingga 3 Januari ini.

Datuk Bandar, Datuk Noorazam Datuk Osman berkata, antara kawasan itu ialah Kampung Md. Amin, Kampung Pasir serta beberapa buah kampung lagi yang terletak berhampiran sungai.

Noorazam

Selain itu, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB ) juga memberi tumpuan kepada 54 kawasan penempatan setinggan di sekitar bandar raya ini yang terletak berhampiran dengan sungai, ujarnya.

“MBJB telah melaksanakan pembinaan sistem tebatan banjir di kawasan hotspot banjir kilat yang termasuk kerja-kerja meninggikan tembok parit sedia ada; memasang flap valve untuk mengelakkan air masuk atau melimpah ke kawasan hotspot banjir.

“Kita juga turut membina ban banjir, menaik taraf kapasiti pam sedia ada di Sungai Chat, membina sistem pam baru di kawasan penempatan penduduk Kampung Md Amin dan Kampung Pasir serta memasang perangkap sampah di beberapa lokasi hotspot banjir disebabkan sampah domestik dan pokok tersangkut di pembentung utama.

“Melihatkan kepada persediaan yang telah dilakukan, kita sudah bersedia untuk menghadapi kemungkinan berlakunya banjir di kawasan bandaraya ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Skuad Kilat MBJB di Dataran Bandaraya Johor Bahru, di sini, hari ini.

Noorazam berkata, Skuad Kilat yang terdiri daripada pelbagai jabatan dalaman MBJB membabitkan kira-kira 300 anggota sudah bersedia untuk berdepan kemungkinan banjir.

MBJB juga bersedia untuk membuka bilik gerakan yang beroperasi 24 jam sehari selain telah mengenal pasti lokasi Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sekira berlakunya banjir.

“Skuad Kilat MBJB adalah merupakan pasukan tindakan pantas terhadap aduan-aduan awam yang Bersifat kecemasan dan kejadian bencana alam antaranya tanah runtuh, banjir kilat, struktur runtuh, pencemaran alam sekitar dan lain-lain aduan.

“Skuad Kilat MBJB ini juga akan bertindak sebagai sokongan dalam melaksanakan tindakan bantuan termasuk sokongan kepada usaha-usaha dijalankan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Johor Bahru,” katanya. – MalaysiaGazette