Datuk Takiyudin Hassan

PUTRAJAYA – Pelan Hala Tuju Tenaga Boleh Baharu Malaysia (MyRER) 2022-2035 dilancarkan hari ini bagi meningkatkan kapasiti campuran tenaga boleh baharu (TBB) dalam bekalan elektrik negara dan memenuhi komitmen perubahan iklim.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pendekatan dalam pelan itu antara lain akan dapat menghasilkan limpahan ekonomi melalui penjanaan nilai pelaburan sebanyak RM20 bilion pada 2025 dalam jangka pendek dan RM33 bilion menjelang 2035 iaitu pelan jangka sederhana.

“Ia juga dapat menyediakan hampir 47,000 peluang pekerjaan langsung dalam bidang TBB,” katanya pada majlis pengumuman pelaksanaan MyRER di sini hari ini.

MyRER disediakan Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA Malaysia) yang antara lain memperincikan perancangan pembangunan TBB negara serta laluan terbaik untuk peralihan ke arah sistem tenaga rendah karbon.

Menurut Takiyuddin, MyRER mengunjurkan kapasiti TBB pada 2025 akan meningkat sebanyak 4,466 megawatt (MW) kepada 12,916 MW berbanding kapasiti pada 2020 iaitu 8,450 MW.

Unjuran kapasiti TBB pada 2035 pula akan terus meningkat sebanyak 9,546 MW kepada 17,996 MW, katanya.

Takiyuddin berkata, pengunjuran kapasiti TBB itu mampu mengurangkan intensiti pelepasan karbon bagi sektor pembekalan elektrik sebanyak 45 peratus pada 2030 dan 60 peratus pada 2035.

“Sasaran peningkatan kapasiti TBB ini merupakan komitmen kementerian dalam menyokong aspirasi negara untuk mencapai pelepasan gas rumah kaca (GHG) bersih seawal 2050 dan menyumbang kepada komitmen perubahan iklim negara di bawah Perjanjian Paris,” katanya.

Beliau berkata, MyRER juga menyediakan panduan kepada pemain industri mengenai hala tuju pembangunan TBB mengikut kawasan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak serta kerangka strategik bagi pembangunan sumber TBB.

Dokumen MyRER boleh diperoleh menerusi laman web khas MyRER di http://www.seda.gov.my/reportal/myrer/. – Bernama