Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafaaton Abu Bakar antara ketua polis daerah yang hadir menerima bantuan banjir daripada Arjunaidi Mohamed yang disumbangkan oleh IPK Pulau Pinang untuk membantu keluarga warga kerja IPK Selangor yang terjejas teruk dalam banjir 18 Disember lalu.Gambar Ihsan IPK Selangor

SHAH ALAM – Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang hari ini menyalurkan bantuan barang keperluan asas kepada anggota polis Selangor yang terjejas akibat banjir pada 18 Disember lalu.

Ketua Polis Selangor, Komisioner Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, ia akan diagihkan kepada 849 orang yang terdiri daripada pegawai kanan, anggota dan kakitangan awam termasuk ahli keluarga mereka yang terjejas teruk akibat banjir.

“Sebanyak enam buah lori yang membawa pelbagai barang keperluan harian seperti tilam, bantal, dapur gas, pakaian baru, tuala, makanan kering yang diagihkan kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor telah disumbangkan oleh Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

ACP Cha Hoong Fong hadir menerima bantuan banjir daripada Arjunaidi Mohamed untuk diedarkan kepada warga kerja IPK Kontinjen selangor yang terjejas akibat banjir.Gambar Ihsan IPK Selangor

Arjunaidi menyerahkan sumbangan itu kepada Ketua-Ketua Jabatan dan Ketua-Ketua Polis Daerah di Selangor pada majlis penyerahan bantuan itu.

Hadir pada majlis, Timbalan Ketua Polis Selangor, DCP Datuk Sharul Lalli Masduki; Ketua Jabatan Pengurusan Selangor, SAC Abdul Ghani Ahmad; Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, ACP Supramaniam A/L Ramasamy.

Tambah beliau IPK Pulau Pinang turut membekalkan peralatan-peralatan pembersihan rumah agar perumahan mangsa-mangsa banjir dapat didiami seperti sedia kala. – Malaysiagazette