Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bercakap pada sidang media ketika hadir Majlis Penyerahan Sumbangan Bantuan Selangor Bangkit di Balai Penghulu, Mukim Batu, Gombak, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ 30 DISEMBER 2021.

GOMBAK – Kerajaan Negeri Selangor menyasarkan kerja-kerja pembersihan banjir di negeri itu tamat tidak lama lagi.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Amiruddin Saari berkata, proses pembersihan akibat bencana banjir di seluruh Selangor akan mencecah 90 peratus pada minggu depan.

“Kita perlu pertingkatkan lagi saya jangkakan mungkin boleh cecah 90 peratus menjelang minggu depan kerana air sudah surut jadi tinggal proses pembersihan.

“Macam di Sri Muda, hari ini saja 80 hingga 90 lori yang kita sewa telah angkat sisa banjir dan ia pertambahan tiga kali ganda daripada mula-mula banjir berlaku.

“Kira-kira empat dan lima hari lepas kita hanya sekitar 30 hingga 35 lori sahaja,” katanya kepada MalaysiaGazette selepas menghadiri program penyerahan sumbangan bantuan Selangor Bangkit di Balai Penghulu, Mukim Batu, Gombak, hari ini.

Amiruddin berkata, kawasan-kawasan yang menjadi keutamaan untuk tujuan itu adalah Sri Muda dan mukim Hulu Langat.

Ini kerana kawasan-kawasan itu sudah tidak dinaiki air berbanding Bukit Changgang, dan Labuhan Dagang.

“Ini semua kita tambahkan dan dijangka dapat percepatkan dalam tempoh seminggu untuk kita habiskan proses pembersihan di beberapa lokaliti antaranya Sri Muda yang menjadi keutamaan, mukim Hulu Langat juga kita sedang beri tumpuan dan saya dapati di Bukit Lanchong dan Kampung Tengah dan Sri Aman sudah semakin baik cuma tinggal 25 peratus sahaja lagi sisa banjir perlu diselesaikan.

“Kemudiaan kita boleh tengok Bukit Changgang, dan Labuhan Dagang yang saya rasa masih lagi perlu penumpuan kerana mereka masih lagi antara yang terakhir surut,” ujarnya.

Ditanya mengenai statistik mangsa banjir yang masih berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS), Amiruddin berkata, jumlah terkini hanya merangkumi 1,000 mangsa.

Malah setakat hari ini cuma 12 PPS yang masih dibuka berbanding 17 sebelum ini.

“Saya jangkakan lebih banyak PPS akan ditutup. Di Kampung Asahan Kuala Selangor juga sudah surut. Kuala Selangor sudah berkurang banyak daripada 17 kepada 8 PPS, semalam tinggal 5 jadi hari ini mungkin lebih banyak berkurang.

“PPS lain masih beroperasi kerana mangsa-mangsa banjir masih belum mahu pulang kerana proses pembersihan belun dimulakan jadi tinggal antaranya di Nanding, Batu 14 dan 15. Ada yang sudah pulang dan ada yang masih tinggal di PPS,” jelas Amiruddin. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast