Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Polis Daerah Dang Wangi akan melakukan rondaan bagi menguatkuasakan prosedur operasi standard (SOP) di lokasi tumpuan di sekitar ibu negara menjelang tahun baru esok.

Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, langkah itu diambil bahi mencegah sebarang aktiviti sosial yang menyebabkan orang ramai hadir beramai-ramai di sesuatu tempat sehingga menyukarkan penjarakan fizikal dan pematuhan SOP dilaksanakan.

“Adalah dimaklumkan bahawa tiada sebarang pertunjukan bunga api bagi sambutan Tahun Baru di KLCC dan Pavillion kali ini.

“Justeru itu, kami mengingatkan orang ramai bahawa ibu kota ini masih berada di bawah PPN Fasa 4 yang berkuatkuasa sejak 18 Oktober lalu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Berikutan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar terus mematuhi SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam memerangi wabak Covid-19.

“Kegagalan mematuhi SOP yang diperintahkan kerajaan akan membolehkan tindakan tegas tanpa kompromi akan menyusul berdasarkan peruntukan lunas undang-undang yang sedia ada,” katanya. – MalaysiaGazette