KUALA LUMPUR – Dua beranak maut dalam kemalangan yang berlaku di KM 2.5 Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) pada pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, ACP Sarifudin Mohd Salleh berkata, kejadian berlaku apabila motosikal yang dinaiki dua beranak itu hilang kawalan lalu melanggar kereta Proton Persona.

Motosikal ditunggang lelaki berumur, 28 tahun itu membawa ibunya hilang kawalan selepas melanggar kereta Perodua Alza.

“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila penunggang motosikal yang ditunggang oleh seorang lelaki Melayu berumur 28 tahun dan pembonceng seorang wanita Melayu berumur 60 tahun menghala ke pusat bandar.

“Sampai di lokasi kejadian telah melanggar belakang sebelah kanan motokar Alza berwarna hitam yang berada di lorong
yang sama lalu hilang kawalan ke lorong paling kanan dan telah melanggar motokar Proton Persona berwarna maroon yang sedang bergerak di lorong paling kanan,” katanya menerusi kenyataan.

Jelas Sarifudin, dua beranak itu mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal di tempat kejadian.

Katanya lagi, kedua-dua mangsa telah di bawa ke Hospital Besar Kuala Lumpur untuk bedah siasat.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” tambah beliau. – MalaysiaGazette