Omicron Covid-19 variant Malaysia case Minister of Health, Khairy Jamaluddin Abu Bakar at a news conference on the latest development of Covid-19 in Malaysia. PIX: HAZROL ZAINAL / MalaysiaGazette / 01 DECEMBER 2021.
Khairy Jamaluddin Abu Bakar

KUALA LUMPUR – Keputusan melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) Pencegahan COVID-19 Bagi Pelaksanaan Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Ke-15 lepas, bukan usaha membelakangi atau melemahkan UMNO, kata Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata keputusan itu juga mencerminkan menteri-menteri daripada UMNO mampu melaksanakan tugas mereka dengan baik, termasuk tugasnya sebagai Menteri Kesihatan yang terlibat dalam pengurusan pandemik itu.

Menteri Kesihatan itu menegaskan, keputusan yang dibuat adalah bagi melindungi rakyat, jentera pilihan raya dan kepimpinan semua parti yang terlibat daripada dijangkiti COVID-19, selain mengelakkan berlaku kenaikan mendadak kes positif wabak itu seperti yang berlaku selepas PRN Sabah tahun lepas.

“PRN Sabah ketika itu tiada vaksin dan pematuhan SOP yang sangat longgar, kes meningkat mendadak. Kita nak elak ia berlaku semula, saya terpaksa ketatkan SOP dan tegas. Siapa yang langgar SOP kita ambil tindakan dan saya tak rasa ia membelakangkan parti.

“Saya laksanakan tugas sebagai Menteri Kesihatan yang mewakili UMNO. Saya mahu mereka (rakyat) melihat menteri (daripada) UMNO ini, sekurang-kurangnya menjalankan tugas dengan baik. Itu yang sepatutnya saya dinilai daripada segi gerak kerja saya (sebagai menteri),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel jemputan program wawancara khas “Dilema COVID dan Politik” yang disiarkan secara langsung di Facebook UMNO Online, malam tadi.

Pada PRN Melaka, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh masing-masing dikompaun RM10,000 melanggar SOP PRN dengan menjalankan aktiviti kempen ziarah rumah ke rumah serta tidak memakai pelitup muka. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast