MHO berharap isu-isu kemanusiaan selesai pada 2022.

KUALA LUMPUR – Kehadiran tahun 2022 diharap dapat memberi lebih banyak ruang serta keadilan hak asasi kepada semua termasuklah golongan migran dan juga yang tiada kewarganegaraan (stateless).

Itu antara harapan  Pertubuhan Kemanusian Masyarakat Antarabangsa (MHO) terhadap isu-isu kemanusian yang semakin getir dan mencabar saban tahun.

Menurut setiausaha agungnya, Datuk Hishamuddin Hashim, MHO akan terus komited dalam mempertahankan dan memperjuangkan isu-isu kemanusiaan kepada terutamanya warga stateless.

“Tahun 2021 bakal melabuhkan tirainya dan umum mengetahui ini adalah tahun yang amat mencabar bagi ramai malah MHO sendiri telah mengetengahkan pelbagai isu sepanjang 2021 ini.

“Bermula dengan membela hak-hak migran di Malaysia, kemudian tuntutan menuntut penghantaran pulang dengan segera bagi tahanan-tahanan warga asing Filipina yang ditahan di Depoh Tahanan Sabah, sehinggalah menuntut hak-hak kemanusiaan dipertahankan ke atas golongan Stateless di Malaysia khususnya di Sabah.

“MHO berharap lembaran 2022 akan membawa sinar harapan kepada ramai yang sedang berdepan dengan isu-isu kemanusian. Kita berharap bagi tahun 2022 sebagai tahun yang lebih baik berbanding sebelumnya,” katanya hari ini.

Antara yang di harapkan berkait dengan golongan bukan warganegara diberikan pembelaan undang-undang yang sewajarnya jika ditangkap oleh pihak berkuasa.

“Kita harap sangat kurangnya isu-isu kezaliman, penindasan dan peras ugut terhadap golongan Bukan warganegara yang berada di Malaysia. Juga tiada penindasan seperti tidak membayar gaji, tidak diberikan pampasan jika kemalangan, dan juga penipuan oleh ejen pekerjaan berlaku terhadap golongan bukan warganegara yang bekerja di negara ini.

“MHO juga cadangkan penubuhan suatu Jawatankuasa Task Force oleh kerajaan bagi menangani isu stateless di Malaysia. Ada baiknya Task Force ini disertai dan dianggotai oleh Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Luar Negara (Wisma Putra), Penasihat Khas kepada Perdana Menteri (Undang-Undang dan Hak Asasi,” ujarnya.

Tambah Hishamuddin, kerajaan Sabah juga diseru untuk tangani isu stateless secara holistik dan menyeluruh dan bukan seperti ini.

“Golongan stateless diberikan hak untuk hidup dengan aman damai tanpa ancaman dan gangguan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab, juga pemberian dokumen kemanusiaan kepada golongan stateless.

“Langkah permulaan, pengenalan semula dokumen IMM13 boleh dilaksanakan bagi menangani golongan Stateless yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri, akses kepada pendidikan, kesihatan dan juga pekerjaan dapat diberikan kepada golongan ini khususnya di dalam sektor pekerjaan.

“Semoga kerajaan harus mempertimbangkan untuk memberi peluang pekerjaan kepada golongan stateless ini berbanding membawa masuk pekerja asing dari luar negara.

“MHO menyokong penuh perlaksanaan penguatkuasaan undang-undang yang dilaksanakan oleh pihak berwajib,kita juga memohon agar isu-isu kemanusiaan terhadap golongan Bukan Warganegara dan juga Stateless tidak dipandang ringan dan diketepikan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Hishamuddin juga berharap isu-isu kemanusiaan yang berlaku di dalam negara ini dapat diangkat dan diberikan perhatian yang sebaiknya oleh pihak-pihak yang bertanggungjawab.

Katanya, dengan pemilihan Malaysia sebagai Ahli Majlis bagi Penggal 2022-2024 di dalam Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ‘UN Human Rights Council’ wajarlah diterjemahkan dengan membela dan memberikan hak-hak sewajarnya kepada golongan bukan warganegara dan juga stateless yang telah menjadi sebahagian daripada penduduk Malaysia.

“Komitmen dan juga keseriusan Malaysia dalam memperjuangkan hak-hak asasi manusia di peringkat global dan mata dunia seharusnya dimulakan dengan memperjuangkan dan memartabatkan hak-hak asasi manusia di dalam Malaysia itu sendiri,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Bela hak asasi warganegara migrants atau stateless dengan negara-negara asal mereka masing-masing okay.

Comments are closed.