Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain pengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Tindak Balas Operasi Bencana.

KUALA LUMPUR – Mesyuarat Jawatankuasa Tindak Balas Operasi Bencana berlangsung semalam bertujuan untuk menyelaras tugas dan gerak kerja semua agensi yang terlibat dalam menghadapi bencana banjir.

Mempengerusikan mesyuarat berkenaan, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain berkata, ia turut menyentuh pengendalian banjir dan cadangan pengoperasian tindak balas bencana.

Jelas beliau, ini bagi memastikan semua agensi yang berkaitan dapat mengaplikasikan mekanisme terbaik dalam bencana banjir pada masa akan datang.

Menurut beliau, hasil perbincangan pada hari ini akan dimaklumkan dan dikoordinasi ke peringkat negeri dan daerah bagi tujuan penyelarasan.

“Ini bagi penyelarasan semua agensi yang terlibat menjadi lebih efektif dan proaktif dalam pengurusan bencana banjir.

“Semua pesuruhjaya polis negeri dan ketua polis negeri serta ketua polis daerah telah diarah mengadakan mesyuarat yang sama di peringkat masing-masing,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sebagai rekod, mesyuarat Jawatankuasa Tindak Balas Operasi Bencana turut dihadiri oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Razarudin berkata, mesyuarat berkenaan diadakan susulan mesyuarat Task Force Pengurusan Pasca Banjir dan Persediaan gelonbang kedua bencana Monsun Timur Laut yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali pada Isnin yang lalu.

Rentetan daripada mesyuarat berkenaan, beliau hari ini mengadakan satu sesi lawatan kerja ke Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK), Hulu Langat dan menerima taklimat daripada Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed serta Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan.

Taklimat tersebut berkaitan dengan tugas pemulihan serta pembersihan pasca banjir yang dijalankan membabitkan PDRM dan agensi-agensi berkaitan.

Selain itu, tambahnya, Komander Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) SAC Muhammad Abd Halim turut memberi ringkasan pengoperasian pasca banjir termasuklah melihat sendiri kerja-kerja pembersihan yang dijalankan di Taman Sri Nanding, Hulu Langat Selangor.-MalaysiaGazette