KUANTAN – Seorang pekerja kontrak Hospital Lipis maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah apabila terlibat dalam kemalangan yang membabitkan sebuah motosikal dan kereta di Jalan Datuk Mahmud pada jam 1 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superitenden Azli Mohd Noor berkata, mangsa yang dikenali sebagai Syed Muhammad Razin Syed Jafri, 19, dalam perjalanan dari arah Bandar Baru Kuala Lipis menghala balik ke rumahnya di Taman Pertama gagal mengawal kenderaannya ketika tiba di lokasi kejadian.
“Pemandu gagal mengawal motokarnya dan masuk ke laluan bertentangan dan berlaku rempuhan dengan motosikal yang datang dari arah bertentangan di jalan berselekoh dan bergaris putih berkembar, ketika kejadian jalan raya basah dan gelap,” katanya alam kenyataan, hari ini.
Tambah Azli, hasil pemeriksaan mendapati kereta itu rosak teruk di bahagian hadapan, fender kiri dan kanan kemek manakala motosikal terbabit rosak teruk di bahagian depan.
Mayat remaja itu akan dibedah siasat selepas keputusan ujian Covid-19 diketahui, ujarnya.
Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Pemandu motokar telah ditahan dan dihantar ke hospital untuk diambil sampel darah dan ujian air kencing untuk menguji tahap alkohol dan dadah,” katanya. – MalaysiaGazette