penjara
Gambar hiasan.

KLUANG – Polis menahan lima individu termasuk penjawat awam kerana disyaki memiliki dadah dan bahan terlarang, dalam satu serbuan di sebuah rumah sewa di Taman Delima, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang, ACP Low Hang Seng berkata, dalam serbuan pukul 11 pagi itu, seramai empat lelaki warga tempatan dan seorang wanita warga Thailand, berumur antara 21 hingga 24 tahun ditahan.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas sembilan tong kosong disyaki untuk menyimpan cecair dadah, sebuah bingkai yang disimpan sepucuk pistol angin berwarna hitam, sebuah botol kaca mengandungi 320 biji bebola besi dan sebuah beg berwarna hitam yang berisi alat renjatan elektrik.

Low berkata, melalui ujian saringan air kencing pula, tiga daripada mereka termasuk penjawat awam itu, positif dadah jenis methamphetamine.

“Hasil siasatan lanjut turut mendapati dua individu mempunyai rekod lampau di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, antara rampasan lain ialah 95 botol cecair 10 mililiter (ml) disyaki dadah tertera tulisan  ‘Antique Vintage’; 27 botol cecair 10 ml disyaki dadah tertera tulisan ‘Godchii Chill Lake A God’; tujuh botol cecair 10 ml disyaki dadah berlabel ‘Nebula e Juice’ serta ratusan kotak pembungkus berlabel pelbagai jenis produk dipercayai dadah.

Turut dirampas satu unit alat penimbang, 26 biji pil disyaki pil kuda, satu bekas mengandungi bahan disyaki dadah jenis syabu, satu paket lutsinar mengandungi bahan disyaki dadah jenis pil kuda dan enam buah telefon bimbit, kata Low.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960, Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958, Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

Low berkata, pihaknya akan memohon reman ke atas lima individu itu di Mahkamah Kluang, hari ini. – Bernama