Bank Negara Malaysia due diligence land purchase procurement Lot 41 1MDB rationalisation plan
Bank Negara Malaysia. - Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Pertumbuhan pembiayaan bersih meningkat kepada 4.4 peratus pada November daripada 4.0 peratus pada Oktober didorong oleh pertumbuhan pinjaman terkumpul yang lebih tinggi manakala pertumbuhan bon korporat terkumpul menjadi sederhana kepada 4.8 peratus daripada 5.9 peratus pada Oktober, kata Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini.

Dalam sorotan bulanannya untuk November 2021, bank pusat itu berkata pertumbuhan pinjaman isi rumah terkumpul meningkat kepada 4.1 peratus (Oktober: 3.7 peratus) berikutan pengeluaran pinjaman yang lebih tinggi untuk perbelanjaan kad kredit serta pembelian harta kediaman dan kereta penumpang.

“Bagi sektor perniagaan, pertumbuhan pinjaman terkumpul meningkat kepada 4.8 peratus (Oktober: 3.1 peratus) berikutan pertumbuhan pinjaman modal kerja terkumpul yang berterusan,” katanya.

BNM berkata bank-bank terus mengekalkan tahap permodalan yang kukuh bagi menghadapi tekanan yang mungkin berlaku dan menyokong pertumbuhan kredit dalam ekonomi.

Sehingga akhir November 2021, lebihan penampan modal sistem perbankan kekal kukuh pada RM122.3 bilion. Bank-bank terus menawarkan bantuan bayaran balik pinjaman kepada peminjam berdaya maju yang menghadapi kesukaran kewangan sementara.

Menurut bank pusat, meskipun nisbah pinjaman terjejas kasar dan bersih keseluruhan pada amnya kekal stabil pada 1.5 peratus dan 0.9 peratus, jumlah pinjaman terjejas mencatatkan penurunan sedikit pada 2.1 peratus berbanding dengan bulan sebelumnya.

Jumlah peruntukan yang disediakan bagi menghadapi kemungkinan kerugian kredit pada masa ini berada pada 1.9 peratus daripada jumlah pinjaman sistem perbankan, kata BNM.- BERNAMA