Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengaminkan doa selepas menunaikan solat hajat pada Majlis Malaysia Berzikir Ambang 2022 ketika di Masjid Putra, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 31 DISEMBER 2021.

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyertai ribuan jemaah di Masjid Putra di sini bagi mendoakan kesejahteraan Malaysia sempena Tahun Baharu 2022.

Beliau yang hadir pada pukul 6.45 petang tadi turut menyempurnakan Majlis Solat Hajat dan Malaysia Berzikir Ambang 2022 setelah selesai solat fardu Maghrib secara berjemaah.

Solat tersebut dipimpin oleh Imam Besar Masjid Putra, Salahuddin Ghozali manakala alunan bacaan zikir munajat pula diterajui ketua kumpulan nasyid terkenal Hijjaz, Munif Ahmad.

Program selama sejam itu berakhir dengan lantunan doa munajat yang penuh syahdu diketuai oleh Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Nasruddin Hassan.

Majlis penutup tahun 2021 itu dianjurkan bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan YADIM bagi menggantikan sambutan Ambang Tahun Baharu 2022 lewat malam ini.

Program disiarkan secara langsung menerusi saluran TV1 RTM dan TV AlHijrah serta wadah digital bermula pukul 7 malam tadi.

Sermalam, Ismail Sabri memaklumkan mengenai pembatalan acara rasmi Ambang Tahun Baharu 2022 sebagai tanda simpati dengan nasib ratusan ribu mangsa banjir di beberapa buah negeri susulan kejadian banjir yang melanda sejak dua minggu lepas.

Beliau turut menyarankan agar masjid-masjid di seluruh negara menganjurkan program yang sama, manakala, bagi penganut bukan Muslim pula, ia boleh dilakukan mengikut kepercayaan mereka.

Hadir sama pada program malam ini iaitu Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali, Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara, Datuk Rodzi Md. Saad dan anggota jemaah menteri beragama Islam.

Ini merupakan tahun kedua berturut-turut negara tiada menganjurkan acara sambutan tahun baharu selepas turut dibatalkan tahun lepas susulan kebimbangan penularan wabak Covid-19. – MalaysiaGazette