Beginilah keadaan Pusat Rekreasi Air Terjun Sungai Gabai yang terjejas teruk akibat banjir ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Hulu Langat, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 29 DISEMBER 2021.

HULU LANGAT – “Saya tengok air turun dari atas bukit bergulung-gulung dengan kayu balak dihanyutkan oleh arus deras.”

Itu pengalaman Mohamad Yahya, 31, yang  menyaksikan sendiri kejadian air bah yang menghanyutkan pokok-pokok hingga meranapkan kemudahan awam di Hutan Rekreasi dan Air Terjun Sungai Gabai yang terletak di Sungai Lui.

Pekerja pembersihan di pusat rekreasi tersebut melihat sendiri kepala air turun menerusi air terjun dengan aliran yang sangat deras dan situasi itu sememangnya menakutkan.

Tambahnya, kejadian seperti itu pertama kali dilihat sejak dia bekerja di situ beberapa tahun lalu dan ia merupakan pengalaman yang tidak mungkin dapat dilupakan.

Mohamad Yahya. Foto HAZROL ZAINAL, 28 DISEMBER 2021.

“Nasib baik pondok yang saya diami bersama isteri dan anak-anak di seberang air terjun ini tidak musnah sama seperti keadaan pusat rekreasi ini,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette baru-baru ini.

Mohamad berharap kawasan itu dipulihkan segera kerana ia bukan sahaja kawasan pelancongan tetapi juga tempatnya bekerja.

Ternyata banjir besar melanda Hulu Langat pada 18 Disember lalu bukan sahaja menyebabkan kemusnahan kediaman dan harta benda penduduk sebaliknya turut merosakkan hutan rekreasi.

Tinjauan MalaysiaGazette  mendapati, kemusnahannya agak dahsyat apabila pokok-pokok besar menghempap beberapa bangunan utama di situ sehingga menyebabkan berlaku keretakan dan boleh digunakan lagi.

Pokok-pokok yang berselerakan akibat dihanyut arus deras ketika banjir tempoh hari menjadi punca kemusnahan bangunan-bangunan yang terdapat di pusat rekreasi tersebut.

Pokok-pokok besar itu dipercayai ditinggalkan oleh aktiviti pembalakan yang tidak diketahui statusnya.

Seorang pengunjung, Kamaruddin Mohd Noor, 68, sedih melihat keadaan Sungai Gabai yang dahulunya tenang namun kini telah bertukar rupa menjadi destinasi menyeramkan.

Dia tidak menyangka air bah yang terjadi minggu lepas telah menyebabkan air terjun Sungai Gabai hilang keindahannya sekaligus tidak lagi sesuai dikunjungi kerana keadaannya membahayakan.

Kamaruddin Mohd Noor. Foto HAZROL ZAINAL, 28 DISEMBER 2021.

“Sebelum ini, saya sering bawa keluarga dan cucu-cucu bercuti dan mandi manda di Sungai Gabai ini apabila tiba musim cuti tapi hari ini bila lihat keadaan yang terjadi di sini tidak mungkin kami akan bercuti lagi di sini.

“Inilah mungkin kebesaran yang hendak ditunjukkan tuhan bahawa alam ini jangan diteroka sesuka hati dan tengoklah akibat daripada ‘tangan-tangan manusia’ yang menebang balak hingga akhirnya menyebabkan kemusnahan tak diduga ini,” katanya.

Seorang lagi pengunjung, Muhammad Mohd Hisyam, 23, pula berkata, Air Terjun Sungai Gabai sememangnya menjadi pilihan kepadanya dan rakan-rakan jika mahu menenangkan fikiran selepas penat mentelaah pelajaran.

Ujarnya, Sungai Gabai kurang dikunjungi berbanding kawasan-kawasan rekreasi lain yang terdapat di Hulu Langat menjadikan destinasi percutian yang menenangkan.

“Saya suka lepak dengan kawan-kawan di sini kalau ada cuti kerana airnya sangat bersih dan sejuk.

Muhammad Mohd Hisyam. Foto HAZROL ZAINAL, 28 DISEMBER 2021.

“Tapi, lihatlah apa yang dah jadi sekarang. Saya sangat berharap agar kawasan ini dapat dipulihkan segera tanpa dibiar begitu sahaja.

“Ini adalah salah satu khazanah alam yang perlu dijaga dan pihak yang berkenaan perlu mengambil reaksi dengan sebaik mungkin untuk memulihkan tempat ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast