Temubual ekslusif SkopMG bersama Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Muhammad Helmi Abdullah di MET Malaysia, Petaling Jaya, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 29 DISEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Malaysia tidak memerlukan kekerapan maklumat cuaca di stesen televisyen atau radio, kata Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia, Muhammad Helmi Abdullah.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kurangnya maklumat cuaca diberikan kepada rakyat menerusi siaran televisyen dan radio sejak dahulu lagi.

“Malaysia bukan seperti negara empat musim yang memerlukan maklumat dari masa ke masa.

“Di negara empat musim, bacaan cuaca sangat penting dan tepat kerana faktor cuaca itu memudahkan untuk ramalan dikeluarkan,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Beliau juga mengulas berkaitan ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) yang dikata tidak tepat berbanding negara lain.

“Malaysia adalah negara beriklim tropika. Kita hanya ada taburan hujan atau angin yang menjadi indikator terhadap ramalan cuaca.

“Semua cuaca bergantung pada tiupan angin, ada masa angin bertiup kencang dan kemudian kembali reda.

“Met Malaysia sedaya upaya memberikan maklumat terkini menerusi laman web kami yang memaparkan ramalan hingga tujuh hari,” katanya lagi.

Kakitangan MET Malaysia melakukan kerja-kerja pemantauan cuaca negara di MET Malaysia, Petaling Jaya, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 29 DISEMBER 2021.

Jelasnya, orang ramai boleh melayari laman sesawang Met Malaysia untuk segala perkembangan terkini berkaitan cuaca di Malaysia.

“Saya melihat rakyat Malaysia kurang kesedaran untuk tahu mengenai cuaca.

“Jika semua pihak memainkan peranan sebagai contoh ibu bapa mendidik anak-anak sejak kecil kepentingan cuaca ini, ia akan memudahkan kalau berlaku sebarang bencana.

“Kalau mereka baca setiap ramalan dan amaran yang kami keluarkan, pastinya akan ada langkah mula yang diambil oleh mereka terlebih dahulu,” jelasnya.

Met Malaysia sebuah agensi di bawah Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) yang dipertanggungjawabkan untuk membekalkan pelbagai khidmat meteorologi, iklim dan geofizik bagi memenuhi keperluan negara dalam perkhidmatan meteorologi, iklim dan geofizik untuk kesejahteraan, keselamatan dan pembangunan lestari. – Malaysiagazette