Kuil Mata Vaishno Devi di Kashmir. foto Getty Images

NEW DELHI – Sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh dan beberapa lagi individu cedera selepas rempuhan berlaku di sebuah kuil agama di India.

Kejadian itu semasa penganut Hindu sedang melawat kuil Mata Vaishno Devi di Kashmir yang ditadbir India.

Perdana Menteri Narendra Modi berkata, beliau sedih dengan insiden yang menyaksikan banyak kehilangan nyawa.

Puluhan ribu orang biasanya mengunjungi kuil itu setiap hari dan jumlah pelawat dilaporkan terlalu ramai kerana musim cuti.

Menurut seorang pegawai kanan polis, 14 orang cedera dalam rempuhan itu, dengan kesemua mereka dibawa ke hospital.

Jumlah kematian dijangka meningkat kerana kuil itu sesak dengan kehadiran orang ramai sempena Tahun Baru 2022.

Kuil, yang terletak berhampiran bandar Katra, adalah antara tapak ziarah kuil yang dikenali di India.

Jumlah pengunjung telah dihadkan kepada sekitar 25,000 kerana wabak itu.

Setakat ini punca rempuhan belum dapat dipastikan.

Namun, keadaan itu dipercayai berlaku kerana kawasan tersebut tidak diurus dengan baik.

Siasatan terhadap kejadian itu telah dilancarkan. – BBC