Paras air yang naik diukur bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya.

JOHOR BAHRU – Jalan Jabi dekat  Kampung Bukit Tempurong dan Jalan Bangas di Segamat ditutup kepada semua jenis kenderaan susulan paras air naik kira-kira 0.5 hingga 0.6 meter.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor, Mohd Solihan Badri berkata, Jalan Jabi Kampung Bukit Tempurong ditutup pada 10 pagi tadi selepas banjir  membabitkan kawasan seluar kira-kira 1,000 meter dengan kedalaman air 0.5 meter.

“Jalan Bangas juga ditutup pada jam 10 pagi selepas air naik 0.6 meter melibatkan kawasan kira-kira 100 meter.

“Bagaimanapun, orang ramai boleh menggunakan jalan alternatif, Jalan Kuala Paya Balai Badang,” katanya di sini.

Menurut beliau, air naik di kawasan-kawasan itu susulan hujan berterusan, justeru kedua-dua jalan terpaksa ditutup bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

Katanya, papan tanda amaran banjir dan jalan ditutup diletakkan di lokasi laluan yang ditutup dan pemantauan berterusan akan dilakukan Jabatan Kerja Raya (JKR) Johor dan daerah Segamat.

Pengguna jalan raya diingatkan sentiasa peka dengan perkembangan semasa dan patuh arahan pihak berkuasa.

”Berhati-hati di jalan raya dan jaga keselamatan masing-masing,” katanya.-MalaysiaGazette