Wan Rosdy Wan Ismail melawat seorang wanita yang baru melahirkan bagi menyampaikan wang tunai sebanyak RM200.

KUANTAN – Bayi yang lahir di Pahang bermula 1 Januari 2022 menerima saguhati sebanyak RM200 daripada kerajaan negeri seperti yang dijanjikan dalam pembentangan bajet tempoh hari.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sumbangan diberikan dalam bentuk simpanan akaun bank dan barang keperluan penjagaan bayi serta ibu berpantang.

“Seperti yang dijanjikan dalam Belanjawan Pahang 2022, Kerajaan Pahang bersetuju untuk memberikan saguhati kepada bayi yang lahir di Pahang pada 2022.

“Pemberian bernilai RM200 untuk setiap kelahiran diberikan dalam dua bentuk iaitu untuk simpanan bank dan RM100 lagi dalam bentuk barangan penjagaan bayi dan ibu sepanjang berpantang.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi sejurus melawat wanita yang baru melahirkan cahaya mata lelaki dan menyerahkan saguhati daripada kerajaan negeri, hari ini.

Siti Hajar Mohamad Taib dan suaminya dikurniakan cahaya mata lelaki pada hari ini dan beliaumendoakan semoga anak pasangan itu akan membanggakan negeri Pahang.

Terdahulu pada 6 Disember lalu, Wan Rosdy mengumumkan sebanyak RM5 juta  diperuntukan  bagi Program Anak Kebanggaan Pahang (Pahang Pride Kid) kepada bayi yang lahir pada tahun 2022.

Ia sebagai tanda keprihatinan Kerajaan Pahang dalam berkongsi rasa syukur dan gembira.

Untuk rekod Jabatan Perangkaan, Pahang mencatatkan sebanyak 25,279 orang purata kelahiran setahun bagi tahun 2020. – MalaysiaGazette