Petugas kesihatan melakukan pemeriksaan pada pesakit Covid-19 yang dirawat di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di MAEPS, Serdang, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 18 MEI 2021.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 3,547 kes sembuh daripada jangkitan Covid-19 dilaporkan setakat pukul 12 tengah hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, perkembangan itu menjadikan jumlah kumulatif individu yang pulih daripada jangkitan wabak tersebut seramai 2,688,925 orang.

Seramai 273 pesakit sedang menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) merangkumi 202 kes disahkan positif Covid-19 manakala 71 kes disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan.

“Sebanyak 159 kes memerlukan bantuan pernafasan melibatkan 86 kes positif Covid-19 sementara 73 kes lagi disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan.

“Daripada jumlah kes baharu yang dilaporkan hari ini (3,386 kes) sebanyak 46 kes atau 2.2 peratus adalah kategori 3,4 dan 5 manakala 3,340 kes (98.6 peratus) lagi terdiri daripada kategori 1 dan 2,” katanya menerusi kenyataan harian perkembangan Covid-19 hari ini.

Noor Hisham berkata, sebanyak 346 kes yang dilaporkan hari ini membabitkan kes import manakala 3,040 kes merupakan penularan dalam negara melibatkan 2,895 warganegara dan 145 bukan warganegara.

Tambah beliau, sebanyak lima kluster baharu telah dikesan menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 6,133 kluster.

Katanya lagi, sejumlah 5,918 kluster telah ditamatkan manakala 215 kluster masih lagi aktif.

Dalam pada itu, Noor Hisham berkata, nilai kebolehjangkitan atau R-naught (Rt) negara semalam berada pada kadar 0.98.

Kelantan merekodkan nilai Rt pada kadar 1.02 manakala Terengganu, Johor dan Melaka masing-masing mencatatkan Rt 0.97. – MalaysiaGazette