Orang awam membersihkan kediaman rumah mereka selepas berlakunya banjir ketika Kementerian Perusahaan Perlandangan dan Komuniti mengadakan Misi Bantuan Banjir di Kampung Pisang, Kuala Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ 01 JANUARI 2022.

KUALA SELANGOR – Keadaan cuaca mendung membawa ke hujan pada jam 1 tengahari tadi mula menimbulkan rasa kurang senang penduduk sekitar Kampung Asahan, Kuala Selangor, hari ini.

Mana tidaknya, ekoran hujan lebat selama dua hari pada pertengahan bulan Disember lalu menyaksikan puluhan rumah di kawasan itu ditenggelami air.

Perasaan hiba Jumaiyah Osman, 52 tidak dapat dibendung ketika ditemui MalaysiaGazette.

Air matanya jatuh berlinangan apabila tiada satu barang-barang rumahnya yang dapat diselamatkan ketika air banjir memasuki rumahnya.

“Saya redha dengan ketentuan Allah. Saya terima ini sebagai ujian daripada Allah kepada hamba-Nya. Selama ini kita lalai jadi ini sebagai peringatan kepada kita supaya kita muhasabah diri, saya terima dengan redha.

“Barang-barang dalam rumah tidak ada harapan nak diselamatkan, semuanya musnah,” katanya ketika menjadi salah satu rumah yang dibersihkan oleh sukarelawan Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, hari ini.

Tambah menyedihkan, beliau sekeluarga baru setahun berpindah ke rumah itu dan ini adalah banjir pertama yang dialami mereka.

Ibu kepada anak istimewa ini berkata, air mula naik jam 2 pagi dan keadaan tidak terkawal selepas itu.

Beliau hanya sempat membawa anak dan beberapa barang berharga bersamanya ketika air sudah berada pada paras pinggang.

“Mula air paras biasa sahaja, jam 2 pagi air naik secara mendadak dan sekelip mata naik ke paras pinggang.

“Semuanya tidak dapat diselamatkan. Saya tidak boleh buat apa sebab nak angkat barang ke tempat tinggi sudah tidak ada.

“Saya redha, pertama saya selamatkan diri sendiri, barang berharga dan anak istimewa,” katanya lagi.

Jirannya, Zumadi Ali, 68, juga berharap hujan sebentar tadi tidak membawa kepada banjir yang menenggelamkan rumahnya.

Zumadi berkata, timbul perasaan risau kerana di rumah itu hanya didiami beliau dan isterinya sahaja.

“Saya berharap air tidak naik balik. Sudah penat bersihkan rumah. Saya cukup resah kalau air naik balik, kita sudah penat.

“Selama 10 hari di Pusat Pemindahan Sementara asyik teringatkan keadaan rumah.

“Yang tinggal sekarang hanya peti sejuk dan mesin basuh dapat diselamatkan,” katanya lagi.

Antara sukarelawan yang terlibat dalam memberikan bantuan kepada golongan yang terjejas akibat banjir ketika mengadakan Misi Bantuan Banjir di Kampung Pisang, Kuala Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ 01 JANUARI 2022.

Dalam pada itu, Alia Shahrun, 35, berkata, dia sekeluarga sudah mula tidak duduk senang sejak semalam ekoran hujan yang turun.

Bagaimanapun, Alia berkata, dia sudah membuat persiapan awal agar cukup bersedia sekiranya tragedi banjir berulang kembali.

“Risau sebab semalam hujan daripada petang sampai malam. Takkan nak kena banjir lagi sekali.

“Kena bersiap sedia dengan barang-barang penting lagipun barang sudah tidak banyak. Kena redha, nak cakap macam mana lagi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette