Gambar hiasan

SEGAMAT – Penduduk di sini kini mulai bimbang ekoran peningkatan paras air yang dijangka berlaku sekiranya hujan lebat berterusan.

Malah kejadian kejadian banjir di Selangor baru-baru ini menambahkan ketakutan mereka.

Seorang penduduk Gemas Baru, Chong Soon Yan, 38, berkongsi rasa bimbangnya berkata, setiap kali hujan lebat, dia rasa gusar.

Chong Soon Yan

Selain  bimbang barang di dalam rumah rosak dan musnah, apa yang lebih dikhuatiri keselamatan ibunya, Tan Ah Cho, 62, bersama tiga lagi anaknya termasuk yang kecil berusia dua tahun.

Ini kerana kenaikan paras air kebiasaannya sukar dijangka dan akan berlaku dalam masa yang pantas.

Bagaimanapun dia dan suami telah pun memindahkan dokumen penting dan barang-barang kelengkapan rumah di tempat yang lebih tinggi.

Pengalaman mereka mengalami banjir sejak 10 tahun mengajar mereka bertindak awal.

Malah mereka juga meninggikan sebahagian tangga rumah di pintu utama  untuk mengelak air melimpah masuk dengan lebih buruk.

“Dulu ini kalau hujan, gate semua habis tidak nampak, air masuk sampai dalam. Takut memang takut sebab ramai orang dalam rumah, budak ramai dan orang tua pun ada.

“Barang elektrik semua mana yang boleh kita bawa naik kita bawa naik sebab risau nanti rosak dan kena beli baru,” katanya ketika di temui di Gemas Baru Segamat di sini hari ini.

Tinjauan MalaysiaGazette di kawasan itu mendapati, hujan masih belum berhenti sejak semalam menjadikan penduduk telah mula mengambil langkah berjaga-jaga.

Selain itu, ada penduduk sudah dipindahkan ke Pusat Perpindahan Sementara (PPS).

Salah seorangnya,  Nor Asheikin Yahaya, 32, bersama anak saudaranya yang merupakan orang kelainan upaya (OKU) namun mereka bersyukur kerana tempat yang disediakan agak selesa.

Walaupun terpaksa melalui kesulitan untuk membantu kakaknya menguruskan anak saudara yang OKU, Ashiekin tiada pilihan kerana apa yang lebih utama buat masa ini adalah nyawa dan keselamatan anak saudaranya, Mohd Shakir Ikbar yang berusia 12 tahun.

“Bila duduk sebegini kita memang tidak boleh pergi mana-mana sebab kita perlu angkat dia untuk ke tandas. Dekat sini syukur alhamdulilallah selesa, semua cukup,” katanya.- MalaysiaGazette