Kementerian Kesihatan (KKM) tidak menerima sebarang kes baharu positif Covid-19 di Pusat Perpindahan Sementara (PPS) bagi mangsa banjir sehingga pukul 3 petang hari ini.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) tidak menerima sebarang kes baharu positif Covid-19 di Pusat Perpindahan Sementara (PPS) bagi mangsa banjir sehingga pukul 3 petang hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, daripada pemeriksaan dan pemantauan dilakukan di PPS di tujuh negeri yang dilanda banjir, jumlah keseluruhan kes positif setakat semalam adalah 15 kes.

Katanya, sebanyak 143 PPS beroperasi sehingga jam 3 petang ini iaitu Pahang (49), Johor (37), Negeri Sembilan (19), Sabah (17), Melaka (16), Kelantan (tiga) dan Terengganu (dua).

“Jumlah keseluruhan mangsa terjejas banjir setakat ini seramai 8,667 orang dengan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di PPS ialah 15 kes. Tiada kes baharu dilaporkan hari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr. Noor Hisham berkata, jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 dalam kalangan mangsa banjir ialah 460 kes dengan sembilan kes baharu, manakala jumlah kluster Covid-19 di PPS ialah kekal satu kluster. – MalaysiaGazette