Azwan Omar atau lebih dikenali ‘Abang Viva’

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi secara peribadi mengucapkan tahniah kepada Azwan Omar atau lebih dikenali ‘Abang Viva’ atas usaha gigihnya membantu mangsa banjir di Selangor baru-baru ini.

Presiden UMNO menerusi hantaran Facebooknya berkata, banyak perkara menarik yang beliau baca mengenai Abang Viva.

“Saya ikuti maklumat yang dilaporkan mengenai Abang Viva sama ada oleh pihak media mahu pun netizen. Hari ini baru ada kesempatan untuk menulis sedikit mengenainya yang menjadi bualan orang ramai itu.

“Banyak perkara menarik saya baca dan kisahnya membantu mangsa banjir dengan hanya berbekalkan wang saku RM50, sebuah kereta Perodua Viva dan sebuah bot kecil dari Melaka.

“Sehinggakan kisahnya diangkat dalam khutbah Jumaat dan sumbangannya mendapat pujian sidang DUN Melaka,” katanya.

Menurut Ahmad Zahid, secara umum antara perkara yang dapat dirumuskan mengenai Azwan adalah ‘budi yang baik dikenang jua’.

Katanya, apa yang dilakukan pemuda itu mendapat sanjungan, diingati dan menjadi bualan orang ramai sehingga hari ini.

“Ternyata Abang Viva telah memberi sebuah inspirasi baharu kepada rakyat Malaysia mengenai kesukarelawanan dan dia juga telah membuktikan kepada semua mengenai nilai murni rakyat Malaysia.

“Betapa anggota masyarakatnya saling mengambil berat dan prihatin antara satu sama lain. Pasti berusaha dan berikhtiar membantu mereka yang dalam kesulitan mengikut kemampuan yang ada.

“Saya percaya ramai lagi rakyat Malaysia seperti Abang Viva terlibat dalam membantu mangsa banjir seadanya. Sama ada disedari atau kurang disedari kepada semua mereka, kita ucapkan terima kasih kerana jasa dan sumbangan,” kata beliau.

Beliau berharap, kisah kesukarelawanan seperti itu terus diangkat dan ditonjolkan kepada seluruh rakyat, sekali gus menjadi suntikan semangat untuk dicontohi semua pihak. – MalaysiaGazette