Keadaan banjir kilat di Banting malam tadi menyaksikan dua PPS dibuka menempatkan 40 orang mangsa banjir.Ihsan IPD Kuala Langat

KUALA LUMPUR – Kawasan Jalan Sungai Nangka dan Kampung Kelanang, Kuala Langat dilanda banjir kilat selepas hujan yang berterusan dan fenomena air pasang besarĀ  sejak 7 malam semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor@Saleh berkata, setakat ini dua pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka iaitu di Dewan Majlis Perbandaran Kuala Langat Banting dan Dewan Orang Ramai Kampung Kelanang.

Katanya, jumlah yang dipindahkan ialah seramai 15 orang melibatkan enam keluarga di Dewan MPKK manakala 25 orang dari enam keluarga ditempatkan di Dewan Orang Ramai Kampung Kelanang.

Tetapi situasi terkini hujan mulai reda dan air semakin surut.

“Penduduk di pesisir pantai khususnya di negeri-negeri Pantai Barat Semenanjung Malaysia (Kuala Langat) disarankan lebih berwaspada berdepan fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku dalam tempoh empat hari bermula 2 Januari hingga 5 Januari 2022,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Keadaan kawasan perkampungan di Banting yang dinaiki air selepas berlaku banjir kilat akibat hujan berterusanĀ  malam tadi.Ihsan IPD Kuala Langat

Tambah beliau, Polis Daerah Kuala Langat telah mengaktifkan Bilik Gerakan Banjir dan Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) bagi menyelaraskan operasi menyelamat dan memberi bantuan kepada mangsa-mangsa banjir bersama dengan agensi-agensi lain seperti Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Kerja Raya, Angkatan Pertahanan Awam, MPKL, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Rela.

Polis Kuala Langat menasihatkan penduduk setempat agar sentiasa berwaspada dan sentiasa peka dengan keadaan cuaca hujan yang berterusan dan mematuhi arahan berpindah ke PPS jika perlu.

“Sekiranya ada sebarang maklumat dan permasalahan yang berkaitan kejadian banjir boleh menghubungi Pusat Kawalan Daerah IPD Kuala Langat di talian 03-31813614 atau 03-3180 1213,” ujar beliau.-MalaysiaGazette