Christophe Gamel. Foto Facebook Sri Pahang FC.

KUALA LUMPUR – Kelab Bolasepak Sri Pahang mengumumkan pelantikan Christophe Gamel sebagai sebagai ketua jurulatih baharu bermula 1 Disember lalu.

Gamel telah bersama pasukan Sri Pahang sebagai penolong jurulatih pada awal musim 2021 sebelum diberikan peranan mengendalikan pasukan Piala Presiden. 

Jurulatih kelahiran Perancis berusia 49 tahun ini dikagumi kerana kebolehannya untuk bekerja dengan pemain-pemain muda mahupun senior serta penerapan corak permainan bolasepak menyerang dan menghiburkan.  

Menurut Lembaga Pengarah Sri Pahang FC, pihak pengurusan dengan restu presiden kelab, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah yakin Gamel adalah individu tepat untuk membimbing dan mengembalikan prestasi pasukan ini ke tahap yang sepatutnya. 

“Kita telah membuat penilaian yang mendalam, mendapati kehadiran beliau cukup disenangi pemain-pemain muda di dalam kelab yang akan menjadi antara tunjang utama pasukan bagi musim baru. 

“Beliau juga berpengalaman membimbing dan mengetengahkan ramai pemain-pemain muda di Perancis dan Qatar selain mengambil keputusan berani untuk menguji kredibilitinya dengan membimbing pasukan kebangsaan Fiji pada 2016. 

“Ianya cukup jelas setelah perbincangan antara kedua-dua pihak bahawa cita-cita, falsafah bolasepak dan nilai yang dibawa Gamel ke dalam kelab sepenuhnya menepati apa yang Sri Pahang mahukan.

“Justeru kita gembira beliau telah bersetuju untuk membimbing pasukan dan membantu Sri Pahang bangkit serta berkembang sebagai pasukan lebih baik bermula 2022,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook Sri Pahang FC hari ini.

Sementara itu, Gamel berkata, Sri Pahang sebuah pasukan yang mempunyai sejarah dan tradisi yang hebat dalam Liga Malaysia dan saya berbangga untuk menjadi ketua jurulatih baru pasukan ini. 

“Saya boleh rumuskan kelab ini mempunyai cita-cita dan perancangan yang besar untuk masa depan dan saya bersedia untuk membantu mereka mencapai sasaran yang ditetapkan. 

“Terima kasih atas kepercayaan yang diberikan oleh Presiden dan pengurusan kelab dan saya juga berharap akan mendapat sokongan penuh daripada penyokong,” katanya. 

Sebagai rekod, Christophe terlibat di dalam bidang kejurulatihan sejak 1990 bersama pasukan CS Meaux B-9 dan pernah membimbing skuad Qatar B-17 dan B-19 selain menjadi ketua jurulatih pasukan kebangsaan Fiji. – MalaysiaGazette