Ketua Penerangan Bersatu Johor, Mohd. Solihan Badri (tengah) ketika membantu mangsa banjir baru-baru ini.-Gambar FB Mohd Solihan.

SEGAMAT – Kepemimpinan, jentera dan akar umbi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Johor diminta komited membantu mangsa banjir mengikut kemampuan masing-masing.

Ketua Penerangannya, Mohd. Solihan Badri berkata, mereka perlu membantu dengan tenaga, wang mahu pun barangan keperluan bagi meringankan beban penduduk yang terkesan dengan musibah.

Pada masa sama, semua sukarelawan parti juga dinasihatkan berwaspada serta peka dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan langkah-langkah membendung penularan Covid-19 dan ketika melakukan gerak kerja terutama di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

“Semua sukarelawan juga perlu mengutamakan keselamatan diri, pasukan serta penduduk yang dibantu, sekali gus mengelak tindakan yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada semua pihak,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau Exco Jabatan Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor itu juga menasihatkan semua sukarelawan serta jentera parti menghulurkan bantuan tanpa sebarang sekatan atau diskriminasi.

“Dalam keadaan banjir sekarang, tidak perlu ada pertikaian atau sekatan untuk kita membantu atau menyantuni seseorang kerana perbezaan parti politik.

“Yang perlu diberi keutamaan adalah soal keselamatan serta pembelaan kepada penduduk yang terlibat banjir,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Tenang.

Pihaknya juga mengucapkan syabas kepada kegigihan sukarelawan Skuad Prihatin Bersatu Johor yang sanggup merentas sempadan bagi membantu penduduk yang terjejas banjir di Selangor dan Pahang menerusi gerak kerja pembersihan pasca banjir serta mengagihkan bantuan barang keperluan.

“Seluruh jentera dan sukarelawan Bersatu mesti terus menjunjung serta mempertahankan keprihatinan parti dengan mendahulukan rakyat,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast