Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan Malaysia, Datuk Dr Noor Zari Hamat bercakap kepada media selepas meninjau Pasukan Tindakan Bencana Rekod menjalankan kerja-kerja pemulihan dokumen yang basah akibat terjejas dalam bencana banjir ketika di Pusat Pengurusan Rekod (RMC), Jabatan Imigresen Malaysia, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 03 JANUARI 2022.

SHAH ALAM – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menganggarkan lebih 10 juta jumlah rekod jabatan kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) terlibat dalam bencana banjir di seluruh negara sejak 18 Disember lalu.

Ketua Setiausahanya, Datuk Dr Noor Zari Hamat berkata, rekod itu membabitkan lebih 50 jabatan kerajaan dan syarikat GLC khususnya di Pahang dan Selangor.

“Rekod ini berkaitan dengan pendaftaran kesihatan bagi pesakit di pusat kesihatan, manakala Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) pula rekod berkaitan dengan pergerakan dan pasport.

“Umumnya rekod berkaitan dengan pengurusan dengan pejabat kerajaan itu sendiri. Jika Kementerian Kerja Raya mungkin rekod berkaitan dengan pelan-pelan pembangunan sesuatu bangunan itu tersimpan.

“Rekod-rekod ini lebih berkait rapat dengan fungsi dan tugasan sesuatu jabatan itu sendiri,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu beliau bersama Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia (ANM), Jaafar Sidek Abdul Rahman membuat tinjauan kerja-kerja menyelamat rekod Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) oleh Pasukan Tindakan Bencana Rekod di Pusat Pengurusan Rekod (RMC), Seksyen 23, di sini.

Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) JIM, Datuk Zakaria Shaaban.

Dalam pada itu, MOTAC melalui ANM akan memberikan khidmat nasihat kepada bukan sahaja jabatan kerajaan dan GLC bahkan mana-mana pihak menyelamatkan rekod yang terlibat dalam bencana banjir.

“Itu nasihat yang akan kita berikan kepada setiap agensi, selama ini mungkin rekod-rekod tersebut berada di tempat yang mudah dinaiki air, apatah lagi banjir besar yang tidak diduga seperti ini.

“Kami bimbang jika stor-stor disediakan untuk meletakkan dokumen rekod itu di tingkat bawah. Nasihat awal kita supaya dokumen itu diletakkan di tempat yang lebih tinggi dan selamat supaya boleh meminimumkan kerosakan jika berlaku banjir,” katanya lagi. – MalaysiaGazette