Foto Instagram Syifa Melvin.

KUALA LUMPUR – Pelakon dan usahawan Syifa Melvin mengakui sedih kerana terpaksa menangguh ibadah umrahnya susulan peningkatan kes Covid-19 dalam kalangan jemaah umrah tanah air yang menyebabkan penangguhan sementara kebenaran perjalanan umrah bermula 8 Januari ini

Berkongsi di media sosial miliknya, adik kepada aktres popular Syatilla Melvin itu berkata, penangguhan tersebut bukan satu permulaan tahun baru yang baik buat dirinya.

“Ini bukan permulaan yang baik buat saya. Saya sepatutnya berlepas ke Tanah Suci dan menunaikan umrah pada 20 Januari depan,” katanya dalam satu perkongsian InstaStory.

Sementara itu, pelakon drama #Siscuba itu, turut mempertikaikan tindakan pihak berkuasa yang menangguh ibadah umrah berbanding penerbangan ke luar negara lain.

“Perlu cucuk (vaksin) sehingga empat hingga lima kali ke baru nak lepas? Kalau pergi United Kingdom semuanya okey sahaja.

“Macam kita pergi buat dosa pula ya. Selepas varian Omicron apa pula? Kita tiada kuasa, jadi turutkan saja sehingga mencapai agenda mereka,” katanya lagi.

Media turut melaporkan sebanyak 1,306 kes atau 11.76 peratus daripada 11,108 jemaah umrah dikesan positif Covid-19 berdasarkan data sehingga 30 Disember lalu iaitu sejak kumpulan pertama jemaah umrah berlepas ke Tanah Suci pada 13 Oktober lalu. – MalaysiaGazette