Mohd Shuhaily memeriksa perbarisan pada Pehimpunan bulanan dan lafaz ikrar bagi bulan Januari 2022 Kontinjen Pulau Pinang di Padang Kawad Pasukan Simpanan Polis Persekutuan, Ayer Itam hari ini.

GEORGE TOWN – Sebanyak 171 kertas siasatan atas pelbagai kesalahan dibuka membabitkan 314 pegawai dan anggota Kontinjen Pulau Pinang sepanjang tahun lalu.

Sejumlah 171 kes itu membabitkan kesalahan tata tertib, jenayah, penyalahgunaan dadah, tidak hadir bertugas dan gagal dikesan (bolos), rasuah serta syariah.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, 314 individu itu terdiri daripada 43 orang pegawai kanan polis, 269 pegawai rendah polis dan dua kakitangan awam.

“Berdasarkan jumlah kes, kesalahan tatatertib paling banyak direkodkan iaitu sebanyak 107 kes dan diikuti dengan jenayah (33 kes), dadah (17) dan bolos (4).

“Bagi kesalahan rasuah pula, empat kertas siasatan dibuka manakala dua lagi kes membabitkan syariah.

“Selain itu, berdasarkan siasatan yang dilakukan,seramai 28 individu kini berdepan tindakan gantung, tahan dan buang kerja mengikut Peraturan 37 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam 1993,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan Pehimpunan bulanan dan lafaz ikrar bagi bulan Januari 2022 Kontinjen Pulau Pinang di Padang Kawad Pasukan Simpanan Polis Persekutuan, Ayer Itam di sini, hari ini.

Tambah Mohd Shuhaily, kesalahan membabitkan pegawai dan anggota Kontinjen Pulau Pinang menunjukkan peningkatan sebanyak 35.71 peratus berbanding tahun 2020.

“Pada tahun 2020, sebanyak 126 kertas siasatan dibuka atas pelbagai kesalahan membabitkan pihak polis negeri ini.

“Sehubungan itu, saya mengajak seluruh warga PDRM negeri ini untuk bersama-sama dengan saya memertabatkan kembali imej pasukan,” ujar beliau. – MalaysiaGazette