KUALA LUMPUR – Kenyataan Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) Tan Sri Abu Zahar Ujang berhubung penjelasan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki terhadap pemilikan saham tidak sepenuhnya menyelesaikan kebimbangan masyarakat terhadap ketelusan suruhanjaya itu.

Setiausaha Agung Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia, Ahmad Firdaus Hadzir berkata, sebaliknya pihaknya berpandangan perkara ini telah mencemarkan imej SPRM selaku badan penguasa utama dalam melaksanakan agenda pencegahan rasuah di Malaysia.

Tambahan pula, katanya, isu rasuah melibatkan pegawai-pegawai SPRM sendiri dan ia bukan sesuatu yang baharu malah telah beberapa kali dilaporkan yang menyebabkan kredibiliti SPRM terjejas teruk.

Ini juga bakal memberi impak negatif kepada persepsi dan kepercayaan rakyat Malaysia terhadap SPRM dalam mengendalikan sendiri kes rasuah yang berlaku dalam kalangan pemimpin tertinggi suruhanjaya itu, ujar beliau.

”Justeru, PKPIM menuntut Kerajaan Malaysia pimpinan perdana menteri menyatakan pendirian tegas dalam mengendalikan isu ini serta menubuhkan segera Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi meneliti kes-kes yang melibatkan pemimpin utama SPRM.

”Ketua Pesuruhjaya SPRM juga wajar direhatkan seketika daripada tugas beliau bagi memberi laluan kepada siasatan menyeluruh terhadap SPRM,” katanya dalam kenyataan di sini.

Ahmad Firdaus berkata, PKPIM merupakan rakan kerjasama mahasiswa bersama SPRM yang telah banyak melaksanakan agenda pendidikan anti-rasuah kepada golongan belia dan mahasiswa melalui inisiatif Malaysian Youth Anti-Corruption Taskforce (MYACT) pada 2021.

Beliau khuatir agenda kempen kesedaran dan pendidikan anti-rasuah ini dilihat akan terencat sekiranya badan penguatkuasa yang sepatutnya menjadi entiti utama dalam mencegah gejala rasuah turut terpalit dengan isu-isu salah guna kuasa dan pecah amanah.

”Kepercayaan dan keyakinan masyarakat awam terhadap sebuah institusi bebas seperti SPRM perlu dikembalikan supaya misi membasmi gejala rasuah dan salah guna kuasa dalam negara terus diperjuangkan,” katanya. – MalaysiaGazette