NIAMEY – Seorang datuk bandar tempatan dan pemandunya ditangkap di padang pasir di utara Niger selepas kokain seberat 200 kilogram (kg) ditemui di dalam kenderaan mereka, kata polis.
Kedua-dua suspek, yang tidak dinamakan, didakwa mengangkut dadah itu ke Libya selepas ia diseludup masuk ke negara itu dari Mali.
Polis Niger berkata, jumlah rampasan kokain itu adalah yang terbesar di negara itu.
Pejabat Pusat Pemerdagangan Dadah Haram Niger (OCRTIS) berkata, polis telah mendapat maklumat mengenai pergerakan kokain yang melalui negara ini ke Libya, dan telah menjejaki mereka.
“(Siasatan) membawa kepada rampasan pada 2 Januari 199 bata kokain – seberat 214kg – dalam kenderaan milik pejabat datuk bandar di Fachi,” kata jurucakap OCRTIS, Nana Aichatou Ousmane Bako.
Kenderaan itu telah meninggalkan Fachi dan sedang menuju ke Libya untuk ke bandar Dirkou apabila ia ditahan pada hari Ahad.
“Ini kali pertama negara kita merampas kokain dalam kuantiti yang banyak,” kata Bako, sambil menambah dadah itu menuju ke Eropah, yang mana nilainya dianggarkan kira-kira AS$19 juta (£14 juta).
Datuk Bandar dan pemandunya dibawa ke Niamey untuk disoal siasat.
Fachi ialah sebuah oasis di padang pasir Tenere kira-kira 400 kilometer di utara bandar Agadez. Ia dikenali sebagai pusat perdagangan garam dan kurma.
Wilayah ini digunakan sebagai laluan untuk pelbagai jenis penyeludupan – seperti memindahkan dadah antara Amerika Selatan dan Eropah dan penyeludupan migran. – BBC