Datuk Ramli Mohamed Yoosuf (dua dari kiri) menunjukkan rampasan dadah dalam dua serbuan berasingan yang dilakukan polis.

KUANTAN – Polis Pahang menahan empat individu yang disyaki terlibat dalam sindiket pengedaran dadah serta merampas dadah bernilai RM402,411 dalam tiga serbuan di Temerloh yang dilakukan pada Ahad dan Isnin lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, hasil rampasan heroin seberat 3,879.62 gram mampu dibekalkan kepada 7,760 pengguna dan rampasan syabu seberat 2,482.32 gram boleh dibekalkan kepada 4,964 pengguna.

“Dalam serbuan pertama polis menahan seorang lelaki dan perempuan di Taman Dahlia, Temerloh dan merampas heroin seberat 60.67 gram beserta syabu seberat 7.76 gram.

“Hasil ujian saringan awal terhadap kedua-dua suspek mendapati positif dadah jenis morphine dan suspek perempuan mempunyai lima rekod lampau manakala suspek lelaki pula ada tujuh rekod lampau berkaitan dadah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, di sini, hari ini.

Menurut Ramli, polis memberkas sepasang suami isteri yang turut terlibat dalam sindiket tersebut dalam serbuan kedua di lokasi yang sama pada keesokkan hari.

“Pihak polis berjaya merampas heroin seberat 41.01 gram dan syabu seberat 28.85 gram dan pasangan itu turut mempunyai kesalahan rekod lampau dadah.

“Hasil ujian urin mendapati kedua-dua negatif, si suami pernah mempunyai satu rekod manakala isteri ada dua kesalahan rekod lampau,” ujarnya.

Tambah beliau, kesemua sukpek direman di bawah Seksyen 117 Kanun Keseksaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, polis turut merampas wang tunai dan barang kemas, sebuah kenderaan pacuan empat roda dan sebuah motosikal. – MalaysiaGazette