Tangkap layar klip video MC Boleh Menjadi Rasuah terbitan SPRM.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memutuskan untuk menarik balik video ‘MC Boleh Menjadi Rasuah’ yang menerima kritikan hebat pelbagai pihak termasuk Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) sejak ia dimuatnaik kelmarin.

Agensi pencegahan rasuah itu dalam kenyataan hari ini berkata, keputusan itu dibuat bersandarkan nilai kebertanggungjawaban dan kesepaduan demi menjaga sensitiviti dan keharmonian semua pihak.

Menurut SPRM, pihaknya tidak berniat untuk menjatuhkan atau mempersoalkan profesionalisme pakar atau pengamal perubatan dalam penyiaran video berkenaan.

“SPRM amat menghargai segala usaha, pengorbanan serta sumbangan daripada setiap pengamal perubatan di negara ini, khususnya ketika negara berdepan dengan penularan pandemik Covid-19,” kata SPRM.

Mengulas lanjut, SPRM berkata, video itu merujuk kepada isu pemberian sijil cuti sakit palsu (MC) dan contoh tersebut berdasarkan situasi sebenar yang pernah disiasat oleh SPRM menerusi aduan yang diterima daripada pihak majikan dan orang awam.

“Sebagai makluman video yang diterbitkan bertujuan mendidik masyarakat serta memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai perbuatan menawar, memberi dan menerima rasuah,” katanya.

MMA dalam kenyataannya semalam menyelar SPRM berikutan video itu sambil menggesa agensi penguatkuasaan itu menjaga reputasi sendiri dan membuat permohonan maaf terbuka.

MMA turut mendesak SPRM menurunkan segera klip video yang dianggap mencemarkan imej profesion perubatan.

Video berdurasi 30 saat itu seorang lelaki telah memberi sampul surat kepada doktor wanita untuk mendapatkan MC walaupun dia disahkan sihat. – MalaysiaGazette