Menara tinjau APM tumbang akibat hakisan di pesisiran Pantai Batu Feringghi di sini, hari ini.

GEORGE TOWN – Sebuah menara tinjau milik Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pulau Pinang tumbang akibat hakisan tanah di pesisiran Pantai Batu Feringghi di sini hari ini.

Kejadian itu diketahui APM selepas menerima panggilan pada jam 3.40 pagi daripada orang awam yang memaklumkan menara tinjau setinggi kira-kira 10 meter itu tumbang di pesisir pantai tersebut.

Difahamkan ketika kejadian terdapat anggota sedang bertugas namun tidak berada di dalam menara tinjau berkenaan.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati kawasan berkenaan termasuk beberapa pondok yang dijadikan premis aktiviti sukan air telah dikosongkan.

Pegawai APM Daerah Timur Laut, Kapten (PA) Muhammad Aizat Abdul Ghani berkata, pihaknya sudah mengambil langkah mengosongkan sebahagian kawasan pesisir pantai susulan kejadian menara tinjau tumbang.

Keadaan menara tinjau APM tumbang.

Jelas beliau, pada masa ini, pemasangan tali sebagai penghadang sudah dilakukan dan mereka akan memantau keadaan di kawasan kejadian bagi memastikan tiada perkara yang tidak diingini berlaku.

“Kejadian dipercayai akibat hakisan ombak besar yang berlaku sejak penghujung tahun lalu. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam insiden tersebut,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Aizat berkata, pihaknya kini sedang menunggu tindakan daripada agensi teknikal bagi melakukan pengosongan di kawasan runtuhan.

Kawasan tebing yang terhakis dianggarkan kira-kira 20 meter. – MalaysiaGazette