Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Beh Eng Lai . Foto FAREEZ FADZIL, 07 JANUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Gara seorang wanita asing berselisih faham di kelab malam, teman lelakinya maut selepas dipukul sekumpulan enam lelaki.

Wanita berusia 40 tahun itu yang keluar dari kelab malam pada 28 Disember lalu pada mulanya diekori keenam-enam suspek bertembung dengan teman lelaki wanita berkenaan di parkir kereta.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pada hari kejadian, pihaknya menerima laporan kira-kira pukul 1.30 pagi  dari seorang wanita warga asing mendakwa teman lelakinya berusia 28 tahun diserang sekumpulan lelaki ketika berada di dalam kereta di belakang kelab malam di Kepong.

“Siasatan polis mendapati semasa wanita berkenaan bersama mangsa di dalam kereta dan datang enam lelaki membuka pintu sebelum menarik keluar teman lelakinya dan memukul sehingga mengalami pendarahan teruk di kepala sebelum pengsan.

“Kesemua suspek telah melarikan diri sejurus menyedari mangsa cedera teruk dan motif kejadian berlaku akibat perselisihan faham antara wanita berkenaan dengan suspek di dalam kelab malam.

“Kesemua suspek kemudiannya mengekori wanita itu sehingga ke tempat letak kereta di mana  teman lelaki wanita itu yang juga pemandu e-hailing sedang menunggu untuk membawa kekasihnya pulang tetapi dipukul oleh sekumpulan lelaki terbabit,” katanya dalam sidang media hari ini.

Tambah Eng Lai, mangsa yang kritikal telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut malangnya meninggal dunia dua hari selepas kejadian itu.

Kes telah diklasfikasikan sebagai 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Hasil bedah siasat di HKL mendapati punca kematian mangsa adalah disebabkan oleh blunt force trauma to the head,” katanya.

Bertindak atas maklumat, polis telah membuat beberapa siri serbuan di beberapa lokasi dan memburu semua suspek terlibat.

“Hasil serbuan telah berjaya menahan seramai enam lelaki warga tempatan termasuk dua beradik yang disyaki bertanggungjawab melakukan jenayah tersebut dan kesemua suspek adalah berusia 20 hingga 24 tahun,” katanya.

Kesemua suspek telah ditahan di sekitar Johor, Perak, Selangor dan Kuala Lumpur dalam tempoh enam hari iaitu antara 1 hingga 6 Januari lalu.

Polis juga merampas 10 buah telefon bimbit pelbagai jenama serta pakaian sekumpulan lelaki itu semasa menyerang mangsa dan beberapa dokumen berkaitan.

Hasil semakan rekod mendapati tiga daripadanya mempunyai rekod jenayah lampau bersabit kes dadah dan pergaduhan manakala tiga lagi  bebas dari sebarang rekod kesalahan.

“Kesemua suspek sebenarnya berasal dari Johor dan selepas serangan itu mereka lari menyembunyikan diri di empat negeri berkenaan elak dikesan polis,” katanya.

Kesemua suspek kini telah direman selama tujuh hari di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama tujuh hari untuk membantu polis melengkapkan siasatan kes untuk tindakan lanjut pendakwaan.-MalaysiaGazette