Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Beh Eng Lai (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang media berkenaan kejayaan menumpaskan sindiket pengedaran dadah di IPD Sentul, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 07 JANUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Satu sindiket dadah tumpas dengan tertangkapnya 15 individu dalam empat serbuan yang dilakukan polis di sekitar ibu negara dan Cheras, Selangor pada Selasa dan Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, kesemua suspek warga tempatan termasuk lima wanita mempelajari teknik memproses dadah melalui internet dan daripada rakan mereka.

Katanya, dalam serbuan pertama pada Selasa lalu, pihaknya menahan seorang wanita dan tiga lelaki dan pemeriksaan lanjut berjaya kepada penemuan sebuah makmal mini memproses dadah di sebuah rumah sewa teres dua tingkat di Taman Mastiara, Batu 5, Cheras, di sini.

“Turut dirampas dadah jenis kanabis anggaran berat (723.50 gram), Ketamin(0.99 gram), Methamphetamine atau Syabu (0.94g), serta berjaya bongkar kegiatan suspek yang menjadikan rumah tersebut sebagai makmal mini memproses cecair dadah,” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada sidang media Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, di sini, hari ini.

Tambah beliau, polis turut menemui bahan bahan kimia dipercayai bahan utama yang digunakan untuk memproses dadah antaranya cecair kimia safer skin, pure aceton, alkohol isopropfil, methanol, dan asid asetik.

Menurut Eng Lai,berpandukan maklumat soal siasat ke atas tangkapan pertama, polis menahan dua wanita dan lima lelaki dalam serbuan kedua di sebuah rumah di Taman City Jinjang, Kepong.

Pemeriksaan lanjut berjaya membawa kepada penemuan dadah jenis kanabis seberat 745 gram, ujarnya.

“Hasi soal siasat menyeluruh terhadap kesemua suspek dan berpandukan maklumat mereka, polis melancarkan serbuan ketiga pada Rabu sekitar jam 12.30 tengah malam di sebuah kondominium di Jalan Putramas Off Jalan Kuching, Sentul,” katanya.

Jelasnya, dalam serbuan tersebut pihaknya menahan seorang lelaki berusia 26 tahun dan merampas dadah jenis kanabis seberat 12 gram, 600 pil Erimin 5 dan serbuk ekstasi seberat 5.079 kilogram.

Sementara itu, Eng Lai berkata, berdasarkan maklumat suspek berkenaan mengenai penglibatan rakan-rakan dalam pengedaran dadah secara aktif di Lembah Klang polis menyerbu sebuah rumah di Taman Cheras Awana Batu 9, Cheras dan menahan seorang lelaki serta dua wanita yang berusia 34 dan 65 tahun.

Menurutnya, polis memeriksa kedua-dua suspek sebelum merampas kanabis seberat 2.74 gram, 10 pil Erimin 5, 62 pil ekstasi dan serbuk ekstasi seberat 72.36 gram.

Katanya, jumlah keseluruhan rampasan dadah dianggarkan seberat 6.1 kilogram yang dianggarkan bernilai RM305,298.

“Dadah yang dirampas adalah kanabis dianggarkan seberat 745.69g, serbuk mdma (5,151g), pil erimin 5 (173.64g),pil ekstasi (30.42g), ketamin (0.99g), Methamphetamine (0.94g),” katanya.

Eng Lai menambah, ujian saringan air kencing mendapati lapan daripada suspek positif dadah jenis ganja dan ketamin dan tiga individu mempunyai rekod lampau bersabit dadah.

Katanya, kesemua mereka direman selama tujuh hari di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah sehingga 11 Januari ini untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.

“Kita juga meneruskan siasatan ke atas mereka untuk memastikan sumber bekalan diperolehi serta menjejaki saki baki ahli sindiket berkenaan yang disyaki masih bebas,” ujarnya. -MalaysiaGazette