Home Nasional 16 ladang babi di Melaka dijangkiti penyakit ASF

16 ladang babi di Melaka dijangkiti penyakit ASF

KUALA LUMPUR – Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Malaysia mengesahkan penyakit demam babi Afrika (ASF) telah menjangkiti 16 ladang babi komersial di Paya Mengkuang di Masjid Tanah, Melaka.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr.Norlizan Mohd Noor berkata, bagi mengawal dan mencegah rebakan penyakit ASF, DVS menguatkuasakan pemusnahan babi di ladang yang disahkan positif ASF.

“Pemusnahan babi menggunakan kaedah gas karbon dioksida CO2 berasaskan garispanduan Kod Amalan Kebajikan Haiwan – Pengurusan Pelupusan Haiwan, sebelum ditanam secara sempurna.

Ukuran lubang kecil untuk gas CO2 adalah pada kedalaman 8 kaki, lebar 10 kaki dan panjang 15 kaki, manakala ukuran lubang untuk tanam pada kedalaman 25 kaki, lebar 20 kaki, panjang 15 kaki.

“Sehingga 7 Januari 2022, sejumlah 1,864 ekor ternakan babi dari ladang yang disahkan positif ASF di kawasan Paya Mengkuang telah berjaya dimusnahkan,” katanya dalam kenyataan perkembangan terkini penyakit itu hari ini.

Tambah beliau, aktiviti pemantauan, pemeriksaan klinikal dan persampelan semua ladang ternakan babi di Paya Mengkuang terus aktif dijalankan bagi mengesan jangkitan penyakit ASF di semua 35 ladang babi di kawasan tersebut.

“Malah, aktiviti pemantauan dan pemeriksaan juga diaktifkan melibatkan semua ladang-ladang penternakan babi di seluruh negara.

“Para penternak dan orang awam diminta segera melaporkan sebarang kematian babi hutan, babi kampung atau babi komersial kepada Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah (PPVD) atau Pejabat Perkhidmatan Veterinar Negeri yang berdekatan.

“Orang ramai juga boleh menyalurkan maklumat berkaitan menerusi hotline Bilik Pengurusan Krisis Penyakit, Ibu Pejabat Perkhidmatan Veterinar Putrajaya (03-88702041),” tambahnya. – MalaysiaGazette