Datuk Mohamad Alamin melihat buku-buku teks yang rosak akibat terkena banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Pogoh, Segamat, Johor.

SEGAMAT – Lebih 300 buah sekolah di seluruh negara terjejas akibat banjir dengan sebahagiannya dibuka bagi sesi persekolahan penggal ketiga pada hari ini.

Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Mohamad Alamin berkata, sebanyak 46 sekolah di Johor dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) iaitu 15 buah di Segamat diikuti Tangkak (13), Muar (tujuh), Mersing (empat), masing-masing tiga di Kota Tinggi dan Batu Pahat serta Kluang (satu).

Setakat pagi tadi 27 sekolah di Johor masih tidak beroperasi kerana dijadikan PPS dan dinaiki air manakala 19 sekolah memulakan sesi persekolahan penggal ketiga pada hari ini.

“Kenapa tak boleh beroperasi, ada dua sebab. Pertamanya masih dijadikan sebagai pusat pemindahan sementara.

“Kedua memang dia (sekolah) masih digenangi air dan sekarang ni saya berada di Sekolah Kebangsaan Pogoh. Kerja pembersihan masih lagi berlangsung. Jadi kita berharap kerja-kerja pembersihan dapat di selesaikan cepat,” katanya ketika meninjau kerja pembersihan di Sekolah Kebangsaan Pogoh, di sini,hari ini.

Menurut Mohamad, sekolah yang tidak dibuka mengikut jadual asal dijangka dibuka pada minggu hadapan.

Tambah beliau, maklumat mengenai status sekolah akan dikemas kini oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dari semasa ke semasa.

Sementara itu, Mohamad berkata, pelajar yang kehilangan baju seragam dan kasut boleh ke sekolah dengan berpakaian biasa. – MalaysiaGazette