MELAKA – Sebanyak 55 saman dikeluarkan terhadap 26 buah kenderaan atas pelbagai kesalahan termasuk ubahsuai dalam Op Samseng Jalanan di sini dalam tiga operasi berasingan berakhir semalam.

Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, dalam operasi bermula jam 10.30 malam Sabtu sehingga 4 pagi semalam, semua pemandu berusia 20 hingga 38 tahun ditahan di tiga lokasi berasingan di Melaka Tengah dan Alor Gajah.

Menurutnya, serbuan dibuat hasil risikan dan maklumat awam dalam usaha menjadikan Melaka sebagai sebuah negeri bebas litar lumba haram membabitkan tiga agensi penguatkuasaan iaitu Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

“Pemeriksaan dibuat terhadap semua pemilik kenderaan melibatkan 16 buah kereta jenis Proton Satria dalam dua operasi di Bulatan Gangsa, Alor Gajah dan sebuah inap desa di Sungai Putat serta 10 buah Honda Civic di kawasan letak kereta di Klebang.

“Ketika ditahan semua kenderaan sedang berhenti bagi mengelakkan risiko kejadian tidak diingini dan hasilnya, polis mengeluarkan 30 saman bernilai RM7,8000 manakala JPJ, 25 saman berjumlah RM3,5000 terhadap semua kenderaan atas pelbagai kesalahan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di Bukit Beruang di sini hari ini. Hadir sama, Pengarah JPJ Melaka Muhammad Firdaus Shariff.

Mengulas lanjut, Abdul Majid berkata, kesemua kenderaan yang disita melakukan pelbagai kesalahan antaranya nombor plat tidak mengikut peraturan, pengubahsuaian di bahagian enjin, kesalahan ekzos serta lain-lain kesalahan trafik.

“Semua kenderaan yang datang dari seluruh negara termasuk Terengganu, Kedah, Perak, Selangor, Pulau Pinang, Pahang dan Johor untuk bercuti ke Melaka akan diperiksa oleh JPJ dan JAS.

“Usaha penguatkuasaan bersepadu sebegini akan dijalankan secara berterusan bagi mencegah kegiatan samseng jalanan di Melaka,” katanya sambil menambah siasatan dilakukan mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette