Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Tan Sri Abu Zahar Ujang bercakap dalam sidang media berkaitan isu Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 11 JANUARI 2022.

PUTRAJAYA – Tan Sri Abu Zahar Ujang bersedia untuk disiasat susulan kenyataan media yang dikeluarkan oleh enam ahli panel Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) berhubung siasatan terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Pengerusi (LPPR) itu  mendakwa beliau tidak mempunyai sebarang agenda yang terselindung di sebalik siasatan tersebut dan hanya melaksanakan tugasnya dengan sebaik mungkin.

“Sukacita saya menegaskan bahawa saya bersedia untuk mana-mana pihak atau organisasi menyiasat saya pada bila-bila masa.

“Sebagaimana yang saya tegaskan daripada mula-mula lagi bahawa yang lebih penting ialah kedudukan institusi SPRM mendapat sokongan daripada rakyat yang bertujuan utamanya memerangi gejala janayah rasuah dan slaah guna kuasa tanpa khuatir,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Menjelaskan mengenai perkara itu, Abu Zahar mengakui ada menerima pesanan daripada Ahli Lembaga LPPR, Datuk Seri Azman Ujang dua hari selepas sidang media khas penjelasan mengenai siasatan Azam Baki yang dibuat ada 5 Januari lalu.

Katanya, Azman memaklumkan kepada beliau bahawa isu berkenaan semakin hangat.

Ujarnya, selang beberapa minit kemudia beliau turut menerima respon daripada seorang lagi ahli Lembaga LPPR, Datuk David Chua Kok Tee berkait maklum balas oleh Azman yang mana LPPR perlu mengadakan mesyuarat bagi membincangkan mengenai perkara tersebut dengan segera bagi menjelaskan kedudukan sebenar.

Tambah beliau, perkara sama turut disuarakan oleh seorang lagi Ahli LPPR, Tan Sri Ismail Omar yang menggesa agar menyuarat diadakan hari ini.

Jelasnya, mendengar pandangan itu beliau bersetuju untuk mengadakan mesyuarat tersebut secara tertutup pada tarikh berkenan pukul 10 pagi di Pejabat Akademi SPRM di Jalan Duta, Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, katanya, pada 8 Januari, beliau mendapati kesemua enam ahli-ahli LPPR tersebut telah mengadakan mesyuarat antara mereka terlebih dahulu tanpa memberitahunya dan mereka telah mengeluarkan kenyataan media.

“Saya berpendapat bahawa kenyataan media yang dibuat oleh keenam ahli-ahli tersebut amatlah dikesali,” katanya.

Pada 5 Januari lepas, Abu Zahar dalam sidang media khas di SPRM memaklumkan LPPR berpuas hati dengan penjelasan yang diberi oleh Azam Baki berhubung isu pemilikan saham yang didakwa atas namanya.

Katanya, Azam tidak mempunyai sebarang kepentingan dalam pemilikan saham seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.

Tegas beliau, panel lembaga itu telah memanggil Azam pada 24 November lalu untuk mendapatkan penjelasan mengenai isu yang tular di media sosial sehingga mencetuskan persepsi negatif terhadap suruhanjaya itu.

Ujarnya, Azam telah menjelaskan bahawa adiknya yang bernama Nasir telah menggunakan akaunnya untuk membeli saham berkenaan pada tahun 2015.

Azam turut menjelaskan beliau tidak mempunyai sebarang kepentingan bagi pembelian mahupun pemilikan saham berkenaan. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Kes Azam: Enam ahli Lembaga LPPR dakwa kenyataan Abu Zahar bersifat peribadi