MACC Malaysian Anti-Corruption Commission Azam Baki share ownership
Tan Sri Azam Baki. PIX: HAZROL ZAINAL.

KUALA LUMPUR – Enam ahli Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) mendakwa pengerusi badan itu, Tan Sri Abu Zahar Ujang telah memberikan kenyataan bersifat peribadi terhadap kes saham melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Menerusi kenyataan bersama, Abu Zahar dikatakan tidak menyatakan seperti mana hasil dalam perbincangaan yang dibuat sebelum itu.

“Kami secara mutlak ingin menyatakan bahawa ahli lembaga pengarah pada mesyuarat itu tidak menyatakan pendapat berbeza sama sekali dengan Abu Zahar.

“Kami juga ingin menyatakan kenyataan tersebut adalah sepenuhnya pandangan peribadi beliau sahaja,” kata kenyataan yang sama.

Kenyataan itu menyebut, sebelum sidang media berlangsung, ahli lembaga pengarah telah mengadakan perbincangan berasingan dengan Abu Zahar dan mencadangkan perkara itu dirujuk selanjutnya kepada mana-mana panel dan jawatankuasa seperti jawatankuasa bebas, Jawatankuasa Khas Parlimen Mengenai Rasuah atau Panel Aduan SPRM.

“Tetapi, beliau (Abu Zahar) berkata, tiada jenayah atau konflik kepentingan dalam perkara itu. Pandangan dan cadangan kami tidak dibangkitkan pada sidang media Abu Zahar.

“LPPR tidak mempunyai kuasa penyiasatan kerana ia ditubuhkan hanya sebagai Lembaga Penasihat,” kata kenyataan itu lagi.

Keenam-enam panel tersebut tampil memberi penjelasan itu dibuat bagi menjaga integriti LPPR.

Kenyataan tersebut dikeluarkan bersama oleh enam Ahli Lembaga Pengarah LPPR iaitu Tan Sri Ismail Omar, Datuk Seri Azman Ujang, Datuk Seri Akhbar bin Satar, Datuk Dr Hamzah Kassim, Datuk David Chua Kok Tee dan Prof Madya Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff.

Pada sidang media yang diadakan Selasa lalu, Abu Zahar berkata, menerusi perbincangan bersama Azam pada 24 November 2021, LPPR mendapati Azam tidak mempunyai sebarang kepentingan kewangan atau berfaedah dalam isu pembelian.

Menurut beliau, Lembaga Pengarah LPPR berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan oleh Azam berkenaan kes saham.

Azam dikaitkan dengan kes saham dan sudah menyatakan tidak memiliki apa-apa kepentingan dalam mana-mana syarikat dan saham-saham berkenaan.

Jelasnya, pembelian saham-saham itu dibuat di pasaran saham terbuka dan tiada sebarang percanggahan kepentingan bagi pembelian saham-saham berkenaan pada tahun 2015.

Azam berkata, akaun sahamnya digunakan oleh adiknya Nasir Baki untuk membuat urus niaga beliau dan tiada kepentingan atau benefisial ke atas saham-saham yang dibeli itu.

Saham-saham tersebut akhirnya telah dipindahkan kepada akaun saham miliknya sendiri. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

LPPR puas hati penjelasan Azam Baki

 

1 Komen

  1. Kenapa mesti berbohong ttg perkara sbnr, apa niat sbnr beliau, apakah sbnr yg dibincangkan antara mereka, siapa yg menipu sbnrnya.

Comments are closed.