KUALA LUMPUR – Jualan perdagangan borong & runcit Malaysia sekali lagi mencecah jualan tertinggi dalam rekod dengan mencatatkan RM118.1 bilion, peningkatan 7.0 peratus tahun ke tahun pada November 2021.

Pretasi ini mengatasi paras yang dicapai bulan lepas sebanyak RM116.2 bilion.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan dalam perdagangan borong & runcit disumbangkan oleh subsektor perdagangan borong yang mencatatkan pertumbuhan positif sebanyak 6.8 peratus atau RM3.6 bilion kepada RM56.3 bilion pada November 2021.

Perdagangan runcit juga berkembang 6.7 peratus atau RM3.0 bilion kepada RM47.8 bilion.

Dalam tempoh yang sama, kenderaan bermotor meningkat 8.6 peratus atau RM1.1 bilion kepada RM13.9 bilion.

Untuk perbandingan dengan bulan sebelumnya, nilai jualan perdagangan borong & runcit pada November 2021 meningkat 1.6 peratus, disokong oleh pembukaan semula pelbagai sektor ekonomi termasuk perjalanan rentas negeri.

Beralih kepada prestasi mengikut subsektor, katanya, pertumbuhan subsektor perdagangan borong sebanyak 6.8 peratus pada November 2021 disokong oleh lain-lain pengkhususan jualan borong yang meningkat 7.6 peratus atau RM1.6 bilion kepada RM22.1 bilion.

Ini diikuti oleh jualan borong makanan, minuman & tembakau dengan 11.2 peratus untuk merekodkan RM11.4 bilion.

Jualan borong bahan mentah pertanian & haiwan hidup juga meningkat 15.5 peratus kepada RM4.7 bilion, didorong oleh harga komoditi yang lebih tinggi.
Bagi perbandingan dengan bulan sebelumnya, jualan subsektor ini meningkat 1.0 peratus pada November 2021.

Mengulas lebih lanjut mengenai subsektor perdagangan runcit, kenaikan 6.7 peratus itu disumbangkan oleh jualan runcit di kedai bukan pengkhususan
yang mencatatkan peningkatan 9.9 peratus atau RM1.6 bilion kepada RM17.7 bilion.

Kumpulan lain dalam subsektor ini turut mencatatkan pertumbuhan positif iaitu jualan runcit bahan api kenderaan 18.2 peratus, jualan runcit barangan isi rumah 6.4 peratus, jualan runcit makanan, minuman & tembakau 9.1 peratus, jualan runcit bukan di kedai, gerai atau
pasar 28.4 peratus, jualan runcit barangan kesenian & rekreasi 4.5 peratus, jualan runcit kelengkapan informasi & komunikasi 0.8 peratus dan jualan
runcit di gerai & pasar 11.6 peratus.

Bagaimanapun, jualan runcit di kedai khusus kekal negatif untuk bulan keenam berturut-turut untuk mencatatkan -1.0 peratus.

Bagi perbandingan bulanan, perdagangan runcit meningkat 3.4 peratus dengan semua kumpulan dalam subsektor ini mencatatkan pertumbuhan positif. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast