Home Dunia Juruterbang pesawat terhempas nyaris dirempuh tren komuter

Juruterbang pesawat terhempas nyaris dirempuh tren komuter

LOS ANGELES – Seorang juruterbang yang pesawat kecilnya terhempas di atas landasan kereta api berjaya ditarik hidup-hidup oleh anggota polis sebelum kereta api komuter tiba menderu laju.

Video menyelamat yang mengerikan itu menunjukkan sekumpulan anggota polis menarik keluar lelaki berlumuran darah dari dalam pesawat yang terhempas  ke tempat selamat beberapa saat sebelum kereta api komuter itu membunyikan honnya, lalu merempuh pesawat Cessna 172.

Pesawat itu terhempas sekitar jam 2.10 petang pada Ahad, sejurus selepas berlepas dari Lapangan Terbang Whiteman.

Ia terhempas di kawasan komuniti Lembah San Fernando di Pacoima, menurut Pentadbiran Penerbangan Persekutuan.

Berdasarkan kamera yang dipasang pada badan anggota polis menunjukkan kereta api itu merempuh pesawat berkenaan pada pukul 2.15 petang.

Pesawat itu telah terhempas di atas lintasan landasan kereta api hanya beberapa blok dari stesen kereta api.

Kebetulan semasa kejadian, terdapat beberapa anggota polis di tempat kejadian.

CBSN Los Angeles berkata, anggota pegawai berjaya mengeluarkan juruterbang dan mengheretnya ke atas jalan berturap.

Tidak jelas berapa lama masa diambil sebelum pihak berkuasa menyedari pesawat itu berada di atas landasan atau lebih tepat ketika polis tahu keadaan yang berlaku di atas landasan.

“Saya telah meminta Metrolink untuk melarang semua operasi kereta api tetapi ia tidak berlaku,” kata salah seorang anggota polis.

Hanya seorang juruterbang yang terlibat dalam kemalangan itu.

Metrolink kemudiannya menghentikan perkhidmatan kereta api dan lalu lintas jalan raya dilencongkan di kawasan itu kira-kira 20 batu (32 kilometer) barat laut pusat bandar Los Angeles.

Pentadbir Penerbangan Persekutuan AS Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan akan menyiasat kejadian tersebut. – ABC News