Amir Hamzah Azizan

KUALA LUMPUR – Pembukaan semula ekonomi Malaysia dijangka dapat menyokong pemulihan beransur-ansur sehingga 2022, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Datuk Seri Amir Hamzah Azizan Azizan.

Seiring dengan itu, KWSP akan merancakkan usaha untuk membantu ahli membina semula simpanan persaraan mereka serta melebarkan jaringan keselamatan sosial dengan bekerja lebih rapat dengan kerajaan dan agensi yang terlibat.

”Salah satu daripada inisiatif utama bagi KWSP pada 2022 adalah untuk mengemas kini mandat kami agar ianya relevan kepada lebih ramai rakyat Malaysia dalam sektor tidak formal serta pekerja kontrak untuk perkhidmatan yang kini merangkumi majoriti tenaga kerja negara.

”Ini penting kerana kami ingin memastikan mereka mendapat akses kepada taraf hidup minimum, walaupun dalam suasana yang tidak dijangka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama, KWSP berharap sentimen pasaran akan bertambah baik pada masa hadapan yang terdekat dalam suasana mencabar dan tidak dijangka ketika ini.

Menurut Amir, usaha pemulihan pasca pandemik terus berkembang pada kadar yang perlahan walaupun kebimbangan sekitar polisi monetari dan inflasi masih kekal.

Risiko kepada perkembangan ekonomi Malaysia dilihat lebih cenderung kepada penurunan pada faktor luaran dan dalaman berikutan keresahan Covid-19 yang masih berterusan.

Kewujudan varian baru virus COVID-19 yang kalis vaksin merupakan salah satu daripada risiko utama yang boleh merencatkan pertumbuhan ekonomi dan pemulihan pasaran.

Menurutnya, kebimbangan terhadap polisi monetari yang ketat akan terus menyebabkan ketidakpastian dan ketidaktentuan pada kedua-dua pasaran ekuiti dan bon.

”Sebagai dana jangka panjang, kami menangani ketidaktentuan, di samping mengambil kesempatan daripada kemerosotan dalam penilaian aset yang pada asasnya kukuh,” tambahnya. – MalaysiaGazette