Mustakim Mohamad

KUALA LUMPUR – Mustakim Mohamad dilantik sebagai Pengarah Eksekutif Kewangan Kumpulan Lembaga Tabung Haji (TH) yang baharu berkuatkuasa 16 Disember lalu.

Pelantikan Mustakim ini mengambil kira pengalaman beliau yang telah berkhidmat lebih 18 tahun di TH, meliputi bidang pengurusan kewangan, pelaburan dan juga operasi.

”Pihak pengurusan yakin kepakaran beliau dapat mengukuhkan lagi pentadbiran kewangan sekaligus membantu Kumpulan TH menghadapi persekitaran ekonomi yang sangat mencabar berikutan kesan wabak Covid-19,” kata Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Amrin Awaluddin.

Mustakim telah memangku jawatan Ketua Pegawai Kewangan susulan peletakan jawatan Datuk Merina Abu Tahir.

Sebelum itu, beliau merupakan Pengarah Eksekutif Operasi dan pernah memegang jawatan Timbalan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan TH pada
Ogos 2018 sehingga April 2020.

Mustakim merupakan lulusan Sarjana Kewangan dari Royal Melbourne Institute of Technology (RMIT), Australia dan juga seorang akauntan bertauliah yang diiktiraf Association of Chartered Certified Accountants (ACCA).

Beliau juga mempunyai lebih 22 tahun pengalaman bekerja khususnya dalam bidang pengurusan kewangan dan auditan di institusi korporat multinasional. – MalaysiaGazette