Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali menunjukkan barangan rampasan sindiket keldai akaun di Melaka hari ini.

MELAKA – Tindakan sepasang kekasih muda yang cuba merekrut seorang tukang kebun menjadi ejen sindiket ‘menjual’ kad mesin juruwang automatik (ATM) menjadi keldai akaun memakan diri apabila diberkas polis awal bulan ini.

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, turut diberkas adalah lima lagi ahli sindiket dalam serbuan dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka pada 4 dan 5 Januari lalu.

Menurutnya, kegiatan mereka mula terbongkar selepas pasangan kekasih berusia 21 dan 30 tahun cuba menawarkan peluang pekerjaan kepada seorang tukang kebun dengan upah RM300 untuk menyerahkan sekeping kad ATM beserta nombor PIN kad pada 21 November tahun lalu.

“Pengadu kemudian menyerahkan dua keping kad ATM miliknya sebelum dia diminta memperkenalkan ‘peluang kerja’ itu kepada lima lagi rakannya untuk menerima upah sama seperti diterimanya.

“Kemudian, tukang kebun berkenaan telah dibawa bertemu dengan dua lelaki ahli sindiket di sebuah rumah di Seri Kembangan, Selangor sebelum pengadu mengesyaki dia cuba ditipu dan membuat laporan polis 3 Januari lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di IPK Melaka di Bukit Beruang di sini hari ini. Hadir sama, Ketua JSJK Melaka Superintendan E Sundra Rajan.

Mengulas lanjut, Abdul Majid berkata, bertindak hasil maklumat, polis melakukan tangkapan pertama di Alor Gajah pada 4 Januari lalu dan berjaya menahan pasangan kekasih berkenaan bersama dua lagi rakan sindiket.

Dalam operasi seterusnya polis berjaya menahan tiga lagi ahli sindiket di tiga serbuan berasingan di Seri Kembangan, Kepong dan Kajang sehingga keesokan harinya membabitkan dua lelaki tempatan dan seorang perempuan warga Vietnam.

“Hasil pemeriksaan, polis berjaya merampas 58 keping kad ATM pelbagai bank, pelbagai jenis mata wang iaitu RM9,290 dan USD1,000 dan Euro50 sekaligus kita percaya sindiket ini aktif merentasi sempadan negara kerana mata wang negara asing yang turut ditemui.

“Semakan lanjut mendapati semua suspek turut mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah aktif dalam pelbagai kes penipuan sejak Oktober tahun lalu.

“Dengan kejayaan ini polis JSJK Melaka berjaya menyelesaikan 36 kes penipuan atas talian membabitkan 36 mangsa di seluruh negara termasuk tiga kes di Melaka dengan jumlah kerugian keseluruhan RM466,380.25,” katanya.

Tambahnya, semua suspek direman bermula 4 Januari lalu berakhir hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.- MalaysiaGazette